Zizan Razak nafi promo aplikasi judi online ‘itu AI, bukan saya’.
Selebriti terkenal, Zizan Razak, mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan video yang menggunakan wajah dan suaranya untuk mempromosikan aplikasi permainan judi dalam talian.
Zizan, ketika dihubungi, berkata beliau sedar dirinya menjadi mangsa suntingan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang direka menyerupai dirinya bagi memperdaya orang ramai.
“Diharapkan sesiapa yang menerima mesej peribadi atau video saya mempromosikan aplikasi itu supaya tidak mempercayainya.
“Saya ingin tegaskan bahawa video itu adalah hasil AI yang menggunakan wajah, gaya, dan suara saya dengan tujuan menipu pengguna. Jadi, saya ingin ingatkan kepada orang ramai supaya berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan sindiket ini,” katanya.
Menurut Zizan, beliau mengaku dihujani mesej peribadi daripada pengikutnya mengenai perkara itu dan berhasrat untuk membuat laporan polis.
“Saya memang merancang untuk membuat laporan polis, tetapi sekarang ini saya berada di Bali, Indonesia. Sebelum ini, saya sudah suarakan mengenai perkara ini, dan tak sangka hal ini berulang lagi. Saya menerima banyak mesej peribadi daripada pengguna,” katanya.
Terdahulu, tular video yang memaparkan wajah Zizan menjadi mangsa suntingan AI untuk mempromosikan aplikasi permainan judi dalam talian bagi memperdaya orang ramai untuk tujuan penipuan.