Zahidi pilih sertai Amanah, tak jadi masuk PKR

Zahidi pilih sertai Amanah, tak jadi masuk PKR

Zahidi pilih sertai Amanah, tak jadi masuk PKR. Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Zahidi Zainul Abidin tidak menyertai PKR sebaliknya menyatakan hasrat menjadi ahli Parti Amanah Negara (Amanah) yang merupakan parti komponen Pakatan Harapan (PH).

Keputusan berkenaan dibuat oleh bekas Ahli Parlimen Padang Besar itu selepas mengadakan perbincangan bersama ahli akar umbi bagi mendapatkan maklum balas berhubung perkara tersebut.

Zahidi berkata, pihaknya mendapat permintaan daripada kebanyakan anggota akar umbi untuk menyertai Amanah dan beliau secara peribadi akan mengadakan perbincangan bersama pimpinan tertinggi parti itu selepas ini.

Zahidi pilih sertai Amanah, tak jadi masuk PKR

“Apa yang pasti saya akan memilih PH namun parti yang akan disertai itu lebih kepada Amanah kerana mereka dapat berkompromi untuk menerima saya,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Ramah Mesra Bersama Penduduk Padang Besar di Laman Pelangi Hall & Roomstay Bukit Jernih di sini hari ini.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan kesediaan Zahidi untuk menyertai PKR bagi membantu menguatkan parti itu di negeri ini.

Bagaimapun, hasrat Zahidi itu mendapat tentangan antaranya Naib Pengerusi PKR negeri, Asrul Nizan Abd Jalil yang menggesa agar penyertaan bekas Ketua UMNO Bahagian Padang Besar itu dipandang serius oleh kepimpinan tertinggi bagi menggelakkan parti menerima pemimpin dalam kategori ‘tong sampah’.

Mengulas mengenai kenyataan itu, Zahidi berkata, maklum balas Asrul itu adalah sangat tidak wajar memandangkan penyertaan beliau bersama PKR di Padang Besar dapat diterima oleh kepimpinan kawasan berkenaan.

“Saya harap komen sebegitu tiada lagi selepas ini memandangkan kerajaan hari ini juga adalah kerajaan Perpaduan melibatkan PH dan UMNO,” katanya.

Dalam pada itu, Zahidi berkata, beliau menjangkakan lebih 2,000 ahli UMNO di Padang Besar akan bersama-sama menyertai PH sekiranya pihaknya diterima gabungan itu.

“Untuk hari ini sahaja sekitar 150 orang menyatakan minat bersama saya menyertai PH. Saya bukan mahukan jawatan, sudah 25 tahun saya menjadi ketua bahagian dan apa yang penting adalah untuk kita membantu pemimpin sedia ada,” katanya.

Sementara itu, Ketua Amanah Kawasan Padang Besar, Kapt (B) Mohamad Yahaya berkata, parti itu terbuka untuk menerima sesiapa sahaja namun pihak terlibat perlu menghantar borang penyertaan keahlian ke pejabat Amanah Kawasan atau melalui Setiausaha Amanah Kawasan mengikut prosedur biasa.

Katanya, beliau atau wakil parti itu di peringkat kawasan tidak akan hadir bagi memenuhi sebarang jemputan yang dianjurkan oleh mana-mana pihak bagi tujuan penyerahan borang kemasukan ahli.

“Borang permohonan keahlian yang diterima oleh mana-mana pihak akan diproses mengikut prosedur biasa dan dimajukan kepada Amanah Nasional untuk penilaian sewajarnya.

“Sebarang kenyataan mengenai acara penyerahan borang kemasukan ahli daripada seseorang atau kumpulan bekas pemimpin mana-mana parti adalah bersifat peribadi dan tiada kena mengena dengan parti Amanah,” katanya.

Baca Lagi:
Gara-gara putus cinta, wanita cuba terjun jambatan Putrajaya
Isham cabar Tuan Ibrahim debat isu ‘sedekah’
Lelaki biadap baling botol arak dari tingkat atas apartment dikecam orang ramai
CATEGORIES