Yasin bebas tuduhan dadah tapi diarahkan ke Hospital Bahagia.
Mahkamah Sesyen melepas dan membebaskan penyanyi dan komposer Muhammad Yasin Sulaiman atas tiga pertuduhan berkaitan dadah.
Hakim Faiz Dziyauddin bagaimanapun memerintahkan Yasin ditempatkan di Hospital Bahagia, Ulu Kinta, Perak, untuk menjalani rawatan selama tempoh diperkenan Sultan Selangor.
Faiz dalam penghakimannya berkata tertuduh ketika kejadian pada 24 Mac 2022 didapati dalam keadaan mental yang tidak waras
“Mahkamah memutuskan tertuduh dilepas dan dibebaskan dengan alasan tertuduh dalam keadaan mental tidak waras walaupun sedar perbuatannya.
“Namun begitu gejala mania (emosi tidak stabil) yang dialami tertuduh pada masa tersebut menyebabkan kemerosotan kognitif pada tahap teruk sehingga tertuduh tidak mampu mengetahui bahawa perbuatannya salah dan bertentangan dari segi undang-undang,” katanya.
Yasin diarah membela diri pada 3 Okt lalu atas tiga kes dadah selepas mahkamah mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie di akhir kes mereka.
Pada 23 Okt lalu, pihak pembelaan menutup kes selepas satu-satunya saksi mereka iaitu Pakar Perunding Psikiatri Hospital Bahagia Ulu Kinta Dr Ian Lloyd Anthony selesai memberi keterangan.
Yasin lepas & bebas atas tiga (3) pertuduhan dadah. Pehhhh.pic.twitter.com/sOaR8hIdwa
— om (@xallehrazax) November 29, 2023
Mengikut pertuduhan, Yasin didakwa memberikan dirinya dadah jenis “11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9-carboxylic acid” di Pejabat Narkotik IPD Petaling Jaya pada 11.05 malam, 24 Mac tahun lalu.
Dia dituduh mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum bawah Seksyen 15(1) akta sama yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.
Yasin juga didakwa memiliki dadah jenis kanabis seberat 193.7g dan menanam 17 pokok ganja dalam pasu plastik berisi tanah di kediamannya di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara, pada 5.30 petang, tarikh sama.
Pertuduhan mengikut Seksyen 6 ADB dan boleh dihukum bawah Seksyen 39A(2) akta sama yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan boleh dikenakan hukuman sebat tidak kurang 10 sebatan, serta Seksyen 6B(1)(a) ADB dan boleh dihukum bawah Seksyen 6B(3) akta sama, yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan sebat tidak kurang enam sebatan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin dan Ahmad Zuhaini Mahamad Amin manakala peguam Ariff Azami Hussein mewakili Yasin.