“Saya sakit hati bila memikirkan dalang penculikan saya di Bangkok, Thailand, adalah rakan saya sendiri,” kata mangsa culik dikenali sebagai Law, 37.
Menceritakan detik gelap dalam hidupnya sebagai mangsa culik, Law berkata, dia dihubungi rakan lama dikenalinya selama 10 tahun pada April lalu.
“Mulanya, saya agak terkejut apabila dihubunginya kerana sudah lama kami tidak berhubung.
“Ketika berhubung, dia ada mengajak saya keluar (lepak) dan belanja makan. Ketika itu, dia ajak saya ke Bangkok untuk menghadiri upacara keagamaan sambil bercuti.
“Saya yang teruja dengan ajakan itu terus setuju kerana rakan menawarkan untuk menguruskan semua perbelanjaan semasa berada di sana,” katanya.
Dia berkata demikian ketika ditemui di Balai Ketibaan Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, hari ini.
Walaupun rakannya itu tidak menyediakan tiket pulang ke Kuala Lumpur, Law tetap meneruskan rancangan ‘percutian’ berkenaan dengan menaiki penerbangan ke Bangkok pada 7 Mei lalu.
“Sebaik tiba di sana, rakan meminta saya menaiki kereta dan memberi saya minuman sebelum saya pengsan.
“Apabila tersedar, saya dapati sudah berada di kawasan kampung di Maesot, Myanmar.
“Apabila tiba di sebuah rumah, empat lelaki China serta seorang lelaki Malaysia minta saya menghubungi isteri dan mereka minta wang tebusan daripada isteri sebanyak RM50,000,” katanya.
Menurutnya, sepanjang berada di rumah berkenaan, dia dipukul menggunakan kayu dan besi selain dikelar pada leher serta tangan.
“Selain saya, ada beberapa lagi individu di rumah berkenaan yang juga mangsa tebusan.
“Saya bernasib baik apabila dapat melarikan diri dan bertemu seorang askar Myanmar yang boleh bercakap bahasa Melayu.
“Saya diberi perlindungan oleh askar berkenaan selama dua minggu sebelum wakil Pertubuhan Kemanusiaan Malaysia (MHO) tiba dan membawa saya ke Bangkok untuk pulang ke Kuala Lumpur.
“Saya ada cuba menghubungi rakan yang membawa saya ke Bangkok itu, namun gagal apabila nombor telefonnya sudah tidak aktif,” katanya yang juga seorang peniaga.