Warga emas rentung dalam Lamborghini, kemalangan di Lebuh Raya Karak

Photo of author

By Syima Iza

Lelaki yang maut dalam kemalangan kereta mewah jenis Lamborghini yang dipandunya di Kilometer (KM) 57, Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dekat sini, pagi tadi, dikenal pasti sebagai warga emas tempatan berusia 62 tahun.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar, berkata mangsa dikenali sebagai Fung Swee Yen ditemui rentung selepas terperangkap di dalam kereta itu yang terbakar dan gagal dikeluarkan oleh orang awam.

Beliau berkata, nahas jam 9.45 pagi tadi dipercayai berlaku apabila pemandu terbabit gagal mengawal keretanya itu ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Bentong.

Warga emas rentung dalam Lamborghini, kemalangan di Lebuh Raya Karak

“Kereta itu kemudian melanggar tembok sebelum menggelongsur ke longkang kiri jalan dan berpusing lalu terbakar,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan seorang lelaki disahkan meninggal dunia di tempat kejadian apabila kereta Lamborghini yang dipandunya terbabas dan terbakar di lokasi berkenaan.

Seterusnya, Zaiham berkata, insiden berkenaan turut menyebabkan penumpang kereta itu, seorang wanita tempatan berusia 47 tahun, mengalami kecederaan.

Beliau berkata, wanita itu berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum dihantar ke Hospital Bentong untuk rawatan lanjut.

“Penumpang wanita itu didapati melecur di bahagian tangan dan kaki. Mangsa kini menerima rawatan di hospital dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil,” katanya.

Justeru, beliau berkata, polis memohon kerjasama mana-mana pihak yang melihat kejadian itu supaya tampil untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Pengguna jalan raya dinasihatkan sentiasa memandu kenderaan secara berhati-hati dan berhemah, serta mematuhi had laju yang ditetapkan,” katanya.

Baca Juga:
Tular lelaki naik Velfire curi ‘parcel’ atas tembok rumah
Budak lelaki raih pujian ramai tidak panik selepas lif tiba-tiba terjunam dari tingkat sembilan
Misteri suara perempuan ketawa atas bumbung masjid akhirnya terjawab, rupa-rupanya…