Warga emas koma selepas potong daun bawang.
Seorang wanita berusia 61 tahun di Vietnam koma dan hampir maut akibat alahan selepas menghiris daun bawang dalam kuantiti yang banyak, lapor portal berita VNExpress semalam.
Kejadian itu berlaku di wilayah Quang, timur laut Vietnam, kelmarin.
Menurut pihak polis tempatan, mangsa mengalami kesukaran bernafas dan tidak sedarkan diri selepas menghiris sejumlah daun bawang di rumahnya.
“Wanita tersebut telah terhidu gas yang dilepaskan daripada herba itu. Dia kemudian dibawa ke pusat perubatan di bandar Dong Trieu.
“Doktor mengesahkan mangsa mengalami alahan teruk serta kegagalan pernafasan,” kata jurucakap polis.
Mangsa kemudiannya diberi suntikan adrenalin dan disambungkan kepada alat bantuan pernafasan.
“Selepas 24 jam, wanita itu akhirnya tersedar daripada koma,” tambahnya.