Warga emas dipijak gajah, diperlakukan seperti bola meninggal dunia atas riba suami

Photo of author

By Syima Iza

Warga emas dipijak gajah, diperlakukan seperti bola meninggal dunia atas riba suami.

Penoreh getah warga emas yang maut dipercayai diserang gajah ketika sedang bekerja di Jalan Felcra Batu 29, Kahang, di sini, hari ini didakwa diperlakukan seperti bola oleh anak gajah.

Penduduk Nor Hassan Mohd Doom, 62, berkata seorang pekerja warga Indonesia berlari mendapatkan pertolongannya selepas melihat mangsa yang terbaring dikerumuni beberapa ekor daripada 10 ekor gajah kira-kira pukul 7 pagi.

Warga emas dipijak gajah, diperlakukan seperti bola meninggal dunia atas riba suami

“Pekerja itu nampak gajah sudah guling-gulingkan mangsa. Akibat dia seorang diri dan ketakutan, lalu dia panggil saya yang berada di sebuah pondok berdekatan.

“Ketika tiba di lokasi kejadian, kumpulan gajah terbabit sudah pergi, mangsa tercungap-cungap meminta tolong dan saya cakap tunggu sekejap, saya panggil laki (suami) dia,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Sementara itu, suami mangsa, Sugianto Giman, 64, yang juga warga Indonesia berkata, Nor Hassan tiba di rumahnya yang terletak kira-kira 200 meter dari lokasi kejadian dengan sebuah kereta.

“Hassan cakap ‘orang rumah awak kena pijak gajah’ menyebabkan saya terperanjat lalu dengan pakai kain pelikat dan baju ini, saya terus ikutnya.

“Sampai di sana, saya jerit ‘mana, mana’ kerana mata saya memang kurang nampak dan masa itu saya nampak dia (isteri) sedang terbaring dan mengangkat tangan.

“Dia merintih lalu saya angkat dia terus hantar ke kereta Hassan. Saya sempat ajar dia mengucap dua kalimah syahadah ketika di pangkuan saya,” katanya.

Sugianto yang bernikah dengan mangsa sejak 1997 berkata, mereka bergegas ke Klinik Kesihatan Kahang dan tiba kira-kira pukul 8 pagi.

“Hari ini kan cuti, memang klinik tak buka lagi dan isteri meninggal dunia di atas ribaan saya tak lama selepas itu,” katanya.

Katanya, dia memeriksa seluruh tubuh isterinya dan mendapati tiada rasa kesan tulang yang patah, melainkan tubuhnya sudah longlai.

“Saya tak nampak ada luka atau cedera di badannya,” katanya.

Katanya, isterinya berpakaian seperti biasa untuk menoreh getah termasuk kasut dan pergi kerja dengan menunggang motosikal bersendirian.

Katanya, isterinya juga tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap sebelum ini dan sempat menyediakannya sarapan roti canai segera.

“Pagi tadi jumpa isteri ketika saya masuk dapur, dia cakap sarapan ada di atas dapur.

“Tolonglah kerajaan, jangan biarkan lagi kejadian ini berulang kepada orang lain, cukuplah saya yang merasakan,” katanya.

Difahamkan, lokasi ladang kelapa sawit berdekatan tempat mangsa ditemui sedang melakukan proses ‘chipping’ dan menjadi lokasi kawanan gajah berkenaan mencari makan sejak sebulan lalu.

Baca Juga:
Kecoh tular video lawatan ke kuil, ini penjelasan Jabatan Agama Islam Perak
Budak perempuan 2 tahun maut akibat strok haba, bapa leka main PlayStation tinggal anak dalam kereta
Letak duit syiling dalam peti ais sebelum keluar rumah atau balik kampung, ini sebabnya