Warga asing mabuk gaduh dengan lelaki tempatan, korek bebola mata hingga terkeluar.
Seorang warga asing yang berada dalam keadaan mabuk bertindak mengorek keluar bebola mata seorang lelaki tempatan dalam satu kejadian di sebuah flat di Jalan Ara Kuda, semalam.
Kejadian itu berlaku kira-kira jam 2 petang apabila mangsa berusia 52 tahun, yang turut dipercayai mabuk, dikatakan mengganggu suspek berusia 28 tahun, menurut laporan Berita Harian. Pergaduhan tercetus, dan suspek didakwa mengorek keluar bebola mata kiri mangsa dengan menggunakan tangannya.
Difahamkan, mata kanan mangsa turut cedera dalam insiden tersebut. Mangsa kini berada dalam keadaan kritikal dan sedang menerima rawatan di Hospital Kepala Batas.
Pihak polis berjaya menahan suspek di lokasi kejadian. Bebola mata kiri mangsa dilaporkan ditemui tidak jauh dari tempat kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ketika mereka tiba untuk membawa mangsa ke hospital bagi rawatan lanjut.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad, ketika dihubungi mengesahkan insiden itu. Kes disiasat di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah dengan sengaja.