Pengakhiran hayat seorang warga emas wanita di Indonesia menjadi bualan ramai apabila dia meninggal dunia ketika sedang solat dan dalam keadaan sujud pada Jumaat, penghulu segala hari.
Dalam rakaman video tular, Allahyarham dikatakan menunaikan solat bersama sekumpulan warga emas yang lain, namun secara tiba-tiba, wanita itu terdiam dalam sujudnya, tidak lagi bernyawa, manakala rakan jemaah lain meneruskan solat.
Video berdurasi dua minit itu mengundang reaksi dan ditonton lebih daripada 315,000 warganet sejak dimuat naik ke akaun Instagram @pekalonganinfo.
Kejadian kemudian disahkan berlaku pada 1 Mac lalu ketika Casuni, 75, menunaikan solat Isyak di Masjid Jami Albarokah, Kampung Kemasa, Bojong, Pekalongan, Jawa Tengah.
Menurut Ketua Kampung Kemasa dikenali Budiono, Casuni adalah peniaga di Pasar Wonopringgo yang dikenali ramai sebagai orang yang rajin menunaikan solat berjemaah di masjid setempat.
Katanya, mereka berasa kehilangan warga emas itu yang dianggap satu dalam seribu kerana keperibadian yang sangat baik.
“Hajah Casuni sangat baik, ramah dan sentiasa membantu orang lain. Setiap hari dia gigih berniaga di pasar dengan menjual rempah ratus dan keperluan asas dapur.
“Dia murah senyuman dan sangat ambil berat dengan pelanggannya dan orang kampung,” katanya dilapor portal pojokbaca.id.
Jenazah Casuni selamat dikebumikan 2 Mac lalu dengan dihadiri keluarga, rakan dan masyarakat setempat.