Wanita terpisah 14 tahun dengan anak kandung minta bantuan netizen lakar wajah terkini anak. Rindu yang tak berpenghujung.
Begitulah kisah seorang wanita di laman Facebook yang meluahkan rasa rindu terhadap anak lelakinya.
Menurut Asrul Hidayu, anak lelakinya iaitu Muhammad Danial Hazmi telah diserahkan kepada keluarga angkat selepas dilahirkan pada 22 Ogos 2009.
Wanita itu turut memuat naik sekeping foto bayi dan memohon bantuan netizen untuk membuat ilustrasi atau gambaran wajah terkini anaknya.
“Assalamualaikum. Bolehkah tolong editkan gambar anak akak yang terpisah 14 tahun ni? Agak-agak macam mana wajah dia sekarang?
“Walaupun wajah dia mungkin sangat-sangat berbeza. Sekurang-kurangnya mampu mengubati rindu yang tiada kesudahan,” ujar wanita itu.
Tambahnya, gambar yang ada dalam simpanannya dirakam ketika anaknya baru berusia tujuh hari
“Dia ada dengan keluarga angkat yang akak tak tahu keadaan dan keberadaan dia dekat mana.
“Sampai sekarang masih berharap dapat dipertemukan dengan dia. Rindu sangat-sangat. Sekarang dia dah ada empat adik. Adik dia tahu kewujudan dia,” tulis wanita itu lagi.
Dia bagaimanapun tidak berkongsi secara terperinci kenapa anak lelakinya itu diserahkan kepada keluarga angkat.
Perkongsian wanita itu menerusi group Facebook Edit Apa Hari Ni? turut meraih pelbagai reaksi netizen.
Malah, seorang pelayar Facebook dikenali sebagai Shabikan Manan turut berkongsi ilustrasi wajah seorang budak lelaki yang diinspirasikan daripada wajah bayi tersebut.
“Sekadar mencuba dari wajah asal bayi. Wallahualam. Moga dipermudahkan urusan pencarian puan. Amin,” tulis lelaki itu.
Dalam pada itu, ramai netizen turut menzahirkan rasa simpati dan mendoakan wanita itu dapat disatukan semula dengan anaknya.
“Semoga dipermudahkan urusan pencarian. Memang elok dicari. Lagipun anak lelaki, antara wali kuat untuk adik-adik perempuannya.
“Kenapa famili angkat tu tak nak inform kalau pindah ke apa? Berdosa pisahkan anak daripada emaknya.
“Laa akak bagi kepada keluarga angkat, macam mana akak sendiri pun tak kenal?” tulis beberapa netizen.