Wanita terkejut ingatkan kembar 3, rupanya mengandung 9 bayi.
Seorang wanita dari Nanchang, China terkejut apabila diberitahu bahawa dia mengandung sembilan bayi selepas menjalani rawatan kesuburan.
Wanita yang dikenali sebagai Hou itu difahamkan menjalani rawatan tersebut kerana menghadapi kesukaran untuk hamil selepas setahun mendirikan rumah tangga.
Bagaimanapun, impian Hou untuk menjadi seorang ibu tercapai sebulan selepas dia menjalani prosedur tersebut.
Pemeriksaan awal menunjukkan dia mengandung bayi kembar tiga, yang menjadikannya yakin impiannya untuk menjadi seorang ibu bakal menjadi kenyataan.
“Saya sangat gembira apabila mengetahui saya hamil,” katanya.
Namun, semasa pemeriksaan kedua, Hou mendapati rahimnya mengandungi lapan kantung gestasi.
Beberapa hari kemudian, Hou dikejutkan lagi apabila terdapat satu lagi kantung yang muncul dalam rahimnya semasa pemeriksaan susulan.
Walaupun ini merupakan berita gembira, suami Hou, Hu, meluahkan kebimbangan tentang kemampuan tubuh isterinya untuk menampung sembilan bayi yang sedang berkembang.
“Kami sedang menunggu nasihat daripada doktor mengenai langkah terbaik untuk meneruskan kehamilan ini,” katanya kepada Guangzhou Daily.