Wanita terhantuk kepala pada tiang ketika rakam video di luar kereta api yang sedang bergerak

Photo of author

By Syima Iza

Wanita terhantuk kepala pada tiang ketika rakam video di luar kereta api yang sedang bergerak.

Wanita Terlanggar Tiang Ketika Kereta Api Bergerak Perlahan Selepas Berlepas dari Stesen Phatthalung di Thailand

Jika kita perhatikan, masyarakat pada zaman ini sanggup melakukan apa sahaja demi menghasilkan konten dan meraih jumlah tontonan yang tinggi di media sosial. Lebih membimbangkan, mereka berani melakukan aksi berbahaya tanpa memikirkan keselamatan diri dan juga orang lain di sekeliling.

Wanita terhantuk kepala pada tiang ketika rakam video di luar kereta api yang sedang bergerak

Baru-baru ini, satu perbuatan sedemikian telah tular apabila rakaman video dikongsikan oleh orang ramai di media sosial.

Wanita Terhantuk Kepala Pada Tiang Ketika Rakam Video Di Luar Kereta Api

Menerusi video yang dimuat naik semula di laman X (@ThaiTrainGuide), seorang wanita di Thailand cuba merakam video trending dengan menjatuhkan separuh badannya ke luar kereta api yang sedang bergerak perlahan sambil tangannya berada pada pemegang.

Namun, niatnya itu tidak kesampaian selepas kepalanya terlanggar tiang besi yang berada di landasan kereta api tersebut. Setelah menyedari insiden tersebut, si perakam membatalkan niat untuk terus merakam dan dipercayai cuba membantu wanita itu.

Mangsa Mengalami Kecederaan

Menurut sumber dari The State Railway of Thailand (SRT), Ketua Pejabat Gabenor Kereta Api Negeri Thailand, Ekkarat Sriarayanphong menjelaskan bahawa kejadian itu berlaku pada 5 Ogos 2024 sekitar jam 3:15 petang.

Kereta api tempatan bernombor 452 itu dalam perjalanan dari Sungai Kolok ke Nakhon Si Thammarat dan baru sahaja berlepas dari Stesen Phatthalung semasa mangsa sedang bergantung pada tangga kereta api dan bersandar keluar dari gerabak. Mangsa dilaporkan terjatuh di Stesen Phatthalung sebelum segera dibawa ke Hospital Phatthalung selepas dipercayai mengalami kecederaan ringan di jari dan mengadu sakit kepala.

Doktor yang bertugas kemudian melakukan imbasan pada bahagian otak wanita tersebut dan mengesahkan tiada kecederaan dalaman selain daripada bengkak dan lebam di kepala.

SRT Kesal Dengan Insiden Yang Berlaku

Susulan kejadian tersebut, pihak SRT mengecam perbuatan terbabit kerana ia boleh menyebabkan kecederaan yang lebih serius seperti hilang upaya kekal atau maut. Oleh itu, SRT menggesa semua penumpang untuk tidak melakukan aksi yang sama.

Sebagai tindak balas terhadap insiden ini, SRT juga telah mengarahkan kakitangannya untuk meningkatkan kekerapan pemeriksaan keselamatan dan memberi nasihat keselamatan kepada penumpang. Sekiranya terdapat tingkah laku berisiko, kakitangan perlu memberi amaran, dan jika penumpang gagal mematuhinya, mereka akan diminta turun dari kereta api dengan segera.

Penumpang Perlu Patuhi Panduan Keselamatan Dari Pihak SRT

SRT juga menyeru semua penumpang kereta api untuk mematuhi peraturan keselamatan semasa berada di atas kereta api. Antaranya:

  • Jangan berdiri di ruang antara gerabak atau di tangga kereta api.
  • Jangan naik atau turun dari kereta api semasa ia bergerak. Sila tunggu sehingga kereta api berhenti sepenuhnya.
  • Elakkan daripada mengeluarkan tangan, kaki, atau kepala anda di luar kereta api.
  • Tidak boleh duduk di tepi tingkap atau pintu.
Baca Juga:
‘Tak sampai seminit, bergerak 5 meter’ lelaki tarik pesawat hanya menggunakan kelopak mata raih perhatian
Pengantin baru caj tetamu RM1,481 setiap seorang
Atlet Pakistan menang emas Olimpik, bapa mertua hadiah kerbau