Wanita tak sangka suami terlantar di hospital sempat curang dengan isteri pesakit katil sebelah.
Kecurangan, satu perkataan yang sering menimbulkan kemarahan. Namun, siapa sangka ia boleh berlaku di tempat yang tidak dijangka, seperti di hospital, melibatkan pesakit yang sedang terlantar!
Menurut satu perkongsian di media sosial, insiden menyedihkan ini dialami oleh seorang wanita yang setia menjaga suaminya di hospital dan diceritakan semula oleh saudaranya. “Kecurangan bukan berlaku di tempat kerja saja, kat hospital pun ada,” kata individu tersebut.
Curang dalam diam…
Menurut cerita yang dikongsikan, wanita tersebut menjaga suaminya yang tidak mampu bergerak dan hanya terbaring di atas katil hospital. Namun, dalam diam, si suami menjalin hubungan sulit dengan isteri kepada pesakit yang terlantar di katil sebelah!
“Cerita betul ya. Saudara juga, jaga suami sakit kat hospital. (Pesakit) tak boleh gerak langsung. Memang baring je terkulai layu. Jaga sampailah sihat,” jelas individu itu.
Lebih mengejutkan, sebaik sahaja suami wanita itu pulih, dia menceraikan isterinya dan berkahwin dengan isteri pesakit ‘katil sebelah’.
Perkongsian tersebut mendapat perhatian netizen, yang rata-rata mengutuk tindakan si suami dan menyelar isteri pesakit ‘katil sebelah’ yang tergamak curang ketika menjaga suaminya yang sakit.
“Yang seorang dah sakit tak sedar diri. Yang seorang lagi, tengah jaga suami sakit pun sempat menggatal. Pelik manusia zaman sekarang ni,” komen seorang netizen.
“Apabila isteri tak jaga yang sakit tu, kata isteri tak guna. Dah jaga sampai elok, dicurangi pula… eh jantan jenis puaka ni memang patut pun biar layu,” tambah seorang lagi netizen yang geram dengan situasi tersebut.
Kecurangan memang sesuatu yang sukar diterima, lebih-lebih lagi bila ia berlaku dalam situasi yang tidak disangka. Nasihat Ohmedia, elakkan diri daripada sebarang situasi yang boleh mendekatkan kepada kecurangan.
Ingatlah, setiap perbuatan ada akibatnya, dan dalam Islam, zina adalah satu perbuatan yang sangat dilarang. Hormatilah pasangan dan jagalah ikatan perkahwinan dengan penuh amanah, walau dalam keadaan apa sekalipun.