Wanita tak sangka selepas rakam ibu 5 anak berniaga di tepi kaki lima dapat bantuan ramai dari netizen

Photo of author

By Syima Iza

Wanita tak sangka selepas rakam ibu 5 anak berniaga di tepi kaki lima dapat bantuan ramai dari netizen.

Seorang wanita tidak menyangka bahawa video yang dimuat naik di TikTok miliknya, mengenai seorang peniaga kaki lima yang berniaga sambil menjaga lima anak kecil, akan tular dan mendapat perhatian ramai.

Nur’ain Shuhada Mohd Razali, 26, berkata video tersebut telah membuka pintu rezeki buat peniaga berkenaan kerana ramai yang tampil menghulurkan bantuan.

Wanita tak sangka selepas rakam ibu 5 anak berniaga di tepi kaki lima dapat bantuan ramai dari netizen

Menurutnya, dia merakam video itu kerana sangat tersentuh melihat situasi anak-anak kecil berada di sekeliling ibu mereka yang sedang berniaga, meskipun malam hari dan hujan.

“Pada satu malam, saya menemani ibu mertua ke bank untuk mengeluarkan wang. Saya hanya menunggu di dalam kereta. Tiba-tiba saya nampak seorang ibu bersama anak-anak kecilnya sedang berniaga buah di situ.

“Melihat bayi terbaring di pangkuan ibunya, ada pula yang tidur di atas lantai kaki lima bank itu, hati saya tersentuh dan terus terdetik untuk membantu. Saya segera merakam kejadian itu,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Tambah Nur’ain, selepas video tersebut tular dan ramai yang ingin menghulurkan bantuan, dia berusaha mencari wanita berkenaan. Hasilnya, dia bertemu dengan peniaga itu, yang dikenali sebagai Juliana, dan mendapati wanita tersebut memang sedang dalam kesusahan.

“Dua daripada lima anaknya adalah orang kurang upaya (OKU) autisme, manakala anak bongsunya mempunyai masalah pernafasan. Dia pula diceraikan oleh suami dua hari selepas melahirkan anak bongsu. Ya Allah, semoga dia kuat menghadapi dugaan ini.

“Saya akan terus membantu Juliana. Kelengkapan asas untuk dia dan anak-anak sudah saya berikan. Selepas ini, saya akan fokus menyediakan kelengkapan rumah pula,” katanya.

Menurut Nur’ain, Juliana menerima bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), namun jumlah itu tidak mencukupi untuk menyara keluarganya. Bagaimanapun, Juliana akan berpindah ke kediaman di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR) dengan bantuan Dewan Undangan Negeri (DUN) di kawasan tersebut tidak lama lagi.

“Kini Juliana tidak lagi berniaga di kaki lima bank. Dia membuat kuih-muih dan menghantar ke kedai berhampiran setiap pagi.

“Bagi sesiapa yang ingin membantu Juliana, boleh hubungi saya secara langsung di TikTok, @aienshuhada1998,” katanya.

Baca Juga:
Wanita kongsi cara pelik simpan beras, 3 tahun pun masih elok!
Aksi ‘drift’ tak menjadi di bulatan Genting Highland, pemandu Honda ini dikecam orang ramai
Banglo milik Sajat turun harga lagi menjadi RM3.79 juta, dah 3 kali lelong masih tiada pembida