Wanita tak sangka perkahwinan ‘Olok-olok’ bertukar jadi kenyataan.
Seorang wanita di Australia terkejut apabila mendapati bahawa ‘lakonannya’ sebagai pengantin dalam sebuah majlis perkahwinan yang disangkanya sekadar olok-olok, sebenarnya sah, lapor laman berita Oddity Central semalam.
Dalam tuntutannya di mahkamah, wanita itu berkata dia ditipu oleh defendan, iaitu suaminya, selepas mereka berkenalan pada September 2023.

Sebelum hadir ke lokasi acara perkahwinan, wanita itu diberitahu oleh defendan bahawa dia perlu hadir ke sebuah majlis bertemakan warna putih.
Namun, sebaik tiba, wanita itu terkejut apabila mendapati hanya ada defendan, jurugambar, pembantunya, dan seorang pegawai perkahwinan.
Defendan kemudian menjelaskan bahawa itu adalah majlis perkahwinan olok-olok yang sengaja dibuat untuk membantu menaikkan jumlah pengikut di laman sosial.
Plaintif kemudian bersetuju dan ‘berlakon’ sebagai pengantin perempuan serta menjalani upacara perkahwinan seperti biasa.
Dua bulan selepas perkahwinan itu, defendan meminta wanita itu untuk menambahkannya sebagai tanggungan dalam permohonan untuk menjadi pemastautin tetap di Australia.
Kedua-dua mereka bukan rakyat Australia.
Bagaimanapun, wanita itu berkata dia tidak boleh berbuat demikian kerana mereka belum berkahwin.
Ketika itulah dia mengetahui bahawa majlis perkahwinan olok-olok itu sebenarnya adalah perkahwinan yang sah.
Setelah meneliti bukti dan hujah kedua-dua belah pihak, Mahkamah Keluarga Melbourne mengisytiharkan perkahwinan itu dibatalkan.
“Saya berasa marah dengan hakikat bahawa saya tidak tahu itu adalah perkahwinan sebenar. Saya juga berasa marah kerana dia (defendan) berbohong dari awal, dan hakikat bahawa dia mahu saya menambahkannya dalam permohonan (pemastautin tetap) saya,” kata plaintif.