Wanita tak jadi beli pakaian di butik selepas minta pekerja kira duit kertas RM368,000.
Seorang wanita membuatkan pekerja di butik Louis Vuitton (LV) di China mengira wang kertas sebanyak 600,000 yuan (kira-kira RM368,416) secara sia-sia apabila dia menukar fikiran dan tidak membeli apa-apa di butik mewah tersebut.
Menurut laporan The Straits Times, tindakan itu adalah sebahagian daripada plot membalas dendam atas pengalaman tidak menyenangkan yang dialami wanita itu ketika berurusan dengan pekerja di premis tersebut sebelum ini.
Akhbar China, Sohu, melaporkan bahawa pertemuan awal wanita itu dengan kakitangan di butik LV tersebut berlaku pada Jun lalu di pusat beli-belah StarLight Place di Chongqing, barat daya China.
Wanita itu menyatakan bahawa dia pergi ke butik tersebut untuk membeli pakaian tetapi dilayan secara acuh tak acuh oleh kakitangan di situ. Selain tidak mengendahkan permintaannya untuk mendapatkan minuman, mereka juga hanya menunjukkan barangan daripada koleksi musim sebelumnya dan bukannya produk terkini.
Dia juga menuduh kakitangan ‘membulatkan mata’ kepadanya dan kelihatan tidak sabar apabila dia meminta untuk melihat beberapa pakaian.
Wanita itu turut menambah bahawa dia diabaikan apabila cuba menghubungi ibu pejabat LV mengenai pengalaman tersebut selepas meninggalkan butik berkenaan.
Menurut South China Morning Post (SCMP), selepas dua bulan, wanita itu kembali ke butik yang sama.
Diiringi pembantu peribadi dan rakannya, mereka mencuba beberapa pakaian sebelum memberitahu jurujual bahawa dia akan membelinya. Dia kemudian menyerahkan beg besar berisi wang tunai kepada pekerja dengan alasan untuk membayar pakaian tersebut.
Kakitangan mengambil masa dua jam untuk mengira wang kertas dalam beg itu, tetapi sebaik sahaja selesai mengira, wanita itu memberitahu kakitangan bahawa dia sudah menukar fikiran dan tidak mahu membeli, lalu beredar.
Dia menulis di platform media sosial Xiaohongshu, “Selepas mereka selesai mengira, saya hanya mengambil wang saya dan pergi.”
Kisah wanita itu mendapat pujian daripada netizen, lapor SCMP.
“Pengakhiran ini sangat menggembirakan. Saya selalu tertanya-tanya kenapa ada pekerja butik begitu angkuh,” kata seorang netizen.
“Mereka menjual barangan mewah, tetapi itu tidak bermakna mereka juga adalah barangan mewah,” kata seorang lagi.