Wanita Sweden hairan kenapa rakyat Malaysia sentiasa nampak gembira berbanding rakyat negaranya.
Seorang pelancong wanita dari Sweden meluahkan rasa hairan dan tertanya-tanya mengapa rakyat Malaysia kelihatan lebih gembira berbanding masyarakat di negaranya.
Menerusi video yang dikongsikan di akaun @blondethinks, wanita tersebut berkongsi persoalan yang bermain di fikirannya, mendakwa bahawa rakyat Malaysia sentiasa kelihatan ceria ketika berada di Kuala Lumpur.
“Adakah hanya saya atau orang di Kuala Lumpur memang sentiasa gembira?” soal wanita itu kepada penonton.
Dia menambah bahawa dia melihat sebuah keluarga besar yang terdiri daripada anak-anak kecil dan orang dewasa sedang makan malam bersama. Walaupun kanak-kanak bising dan aktif melompat, semua anggota keluarga tersebut kelihatan gembira, tertawa, dan bersuka ria. Wanita itu menganggap situasi tersebut sebagai sesuatu yang manis dan menghiburkan.
“Di Sweden, saya jarang melihat kanak-kanak dan orang dewasa bergaul mesra seperti ini. Mereka tidak kelihatan gembira seperti rakyat Malaysia di sini,” katanya.
Melalui kapsyen video tersebut, dia menjelaskan bahawa pandangannya hanyalah hasil pemerhatian ketika berada di Kuala Lumpur.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen tempatan menyatakan bahawa nilai kekeluargaan yang kuat dalam masyarakat Malaysia mungkin menyumbang kepada kegembiraan yang dipaparkan.
“Mungkin sebab kami tidak menghadapi musim sejuk, atau mungkin kerana makanan tempatan yang sedap. Kemungkinan besar semua perkara ini, ditambah dengan budaya bersyukur atas apa yang dimiliki,” kongsi seorang netizen.
“Bukan kami tidak pernah ada masalah dalam keluarga, tetapi kami tahu ada orang lain yang menghadapi dugaan yang lebih besar, dan itu membuatkan kami lebih bersyukur,” tambah seorang lagi.
“Hidup memang mencabar, tetapi kami menghargai walaupun perkara kecil dalam hidup. Hidup mesti diteruskan,” komen seorang lagi netizen.
Ada juga yang berpendapat bahawa sifat positif ini terbentuk kerana ramai yang reda dan bersyukur dengan limpahan rezeki serta keharmonian yang dinikmati selama ini.