Wanita sebar dakyah menyuruh isteri melayani suami seperti pelacur dan suami merogol isteri. Tindakan seorang wanita yang sering berkongsi kandungan berunsur lucah berkaitan hubungan seksual suami isteri secara terbuka di media sosial telah mengundang pelbagai kecaman dan kritikan daripada pelbagai pihak.
Salah satu fahaman yang disebarkan bercanggah di sisi agama Islam adalah dia menyuruh isteri melayani suami seperti pelacur dan suami merogol isteri.
Menyimpang dari agama
Memetik laporan Harian Metro, Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Aswaja), Dr Zamihan Mat Zin menyelar tindakan individu yang menyebarkan dakyah melayani keinginan nafsu suami dengan fahaman agama yang menyimpang dan melakukan hubungan seksual yang ekstrem.
Ini adalah bentuk penderaan fizikal serta seksual kepada isteri atas nama ketaatan sedangkan ia sangat jauh menyimpang daripada maksud sebenar yang sudah digariskan di dalam Islam.
Dalam pada itu, beliau juga tidak mahu perkara tersebut terus mencalarkan imej Islam dan memberi tanggapan salah terhadap keharmonian agama. Justeru itu, tindakan harus diambil dengan menyiasat individu-individu yang terlibat dengan hantaran berbaur lucah tersebut.
Saya sangat mengharapkan pihak Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) melaksanakan siasatan dengan segera termasuk memanggil wanita serta pentadbir kumpulan berkenaan.
Difahamkan juga wanita yang menyebarkan dakyah itu melakukan video siaran langsung di media sosial (Facebook) dan kefahaman ekstrem ini perlu dibendung di peringkat awal.
Sementara itu, isu ini juga mendapat perhatian Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar yang telah mengarahkan pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk membuat laporan berhubung isu tersebut.
Terdahulu, pendedahan berkenaan kegiatan wanita itu telah dilakukan oleh seorang pengguna Twitter serta difahamkan wanita tersebut sangat aktif di Facebook (FB) dan TikTok.
Malah bukan itu sahaja, dia juga telah mewujudkan sebuah grup di Telegram sebagai platform untuk menyebarkan aktiviti seksual suami isteri dan sebagai tempat untuk pengikutnya meluahkan masalah hubungan intim.