Wanita naik motosikal bawa bayi 8 bulan sejauh 450 kilometer undang sebak

Photo of author

By Syima Iza

Wanita naik motosikal bawa bayi 8 bulan sejauh 450 kilometer undang sebak. Seorang ibu muda di Thailand terpaksa menempuh perjalanan sejauh 450 kilometer bersama bayi berusia 8 bulan selepas diusir oleh ibu mertuanya, lapor ThairathTV.

Kisah ini menarik perhatian ramai selepas ditemui oleh wartawan tempatan. Ibu muda berusia 30 tahun ini dilihat menunggang motosikal Honda Wave merah tanpa plat nombor, dengan semua barang miliknya diikat di belakang motosikal. Anak kecilnya diletakkan dalam carrier bayi yang diikat dengan rapi di bahagian hadapan motosikal.

Ketika ditemui wartawan di kawasan Prachin Buri sekitar jam 4.30 petang, beliau memberitahu bahawa destinasi akhirnya adalah Chonburi, yang bermaksud dia masih mempunyai baki perjalanan sejauh 150 kilometer lagi. Wanita tersebut memulakan perjalanan sejak pukul 8 pagi dari Chaiyaphum, kira-kira 300 kilometer jauhnya dari tempat mereka ditemui.

Wanita naik motosikal bawa bayi 8 bulan sejauh 450 kilometer undang sebak

Dengan hanya baki 500 baht (sekitar RM60), beliau menolak sebarang bantuan wang yang ditawarkan oleh wartawan. Menurutnya, keputusan untuk meninggalkan rumah adalah berpunca daripada pertelingkahan besar dengan ibu mertuanya.

Difahamkan, pasangan ini pada awalnya bekerja di Chonburi dan meninggalkan anak mereka di bawah penjagaan ibu mertua. Namun, keadaan menjadi lebih rumit apabila adik iparnya terlibat dalam kemalangan serius yang memerlukan pembedahan otak.

Akibatnya, ibu mertua terpaksa menjaga anak kecil itu bersama anaknya yang sedang dalam pemulihan secara serentak. Sebagai isteri yang prihatin, wanita ini mengambil keputusan untuk berhenti kerja demi membantu ibu mertuanya yang kini memikul beban berat.

Namun, tekanan hidup dan tanggungjawab yang semakin bertambah membuatkan ibu mertuanya sering melampiaskan kemarahan kepada menantunya. Setelah menceritakan masalah ini kepada suaminya, suami wanita tersebut cuba menenangkan keadaan dengan menjadi orang tengah. Namun, campur tangan suaminya mengundang kemarahan ibu mertua, yang akhirnya memberi kata putus kepada menantunya untuk meninggalkan rumah jika merasa tidak puas hati.

Baca Juga:
Anak bunuh ibu kandung, sorok dalam peti ais selama 3 tahun
Pelakon terkenal Korea Selatan ditemui mati, sempat tinggal sepucuk surat
Guru paksa anak murid beli insurans jika mahu dilantik jadi pengawas sekolah