Wanita menyamar sebagai tetamu, tumpang tandas larikan duit tuan rumah RM2,500.
Majlis kesyukuran yang dianjurkan oleh sebuah keluarga di Pasir Mas, Kelantan bertukar suram apabila beg tangan berisi wang berjumlah RM2,500 telah dilarikan oleh seorang wanita yang menyamar sebagai tetamu, pada Sabtu lalu.
Menurut maklumat daripada Ameer Hakimi, wanita tersebut pada mulanya dikatakan ingin menumpang tandas di rumah kakak iparnya itu.
Ameer Hakim turut berkongsi video rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) dari dalam rumah berkenaan yang jelas menunjukkan wanita tersebut mengambil beg tangan berwarna putih yang terletak di atas sebuah kabinet dan terus berlalu pergi.
“Majlis kesyukuran kakak ipar berubah suram. Aktiviti majlis perkahwinan tetamu tidak diundang mengambil harta bukan miliknya.
“Menyamar sebagai tetamu, tumpang tandas dan melarikan wang ringgit sebanyak RM2,500,” katanya dalam satu hantaran di Facebook semalam.
Dalam pada itu, Ameer Hakim juga memohon bantuan orang ramai untuk berkongsi video berkenaan bagi membantu menjejak pelakunya serta menggesa wanita tersebut untuk memulangkan kembali harta yang telah dicuri.
“Pakat beringat. Boleh kongsi. Tolong pergi letak semula bawah pintu tuan rumah apa-apa cara untuk kembalikan harta tersebut,” ujarnya.