Wanita maut dibunuh suami

Photo of author

By Syima Iza

Seorang wanita maut dibunuh suaminya dalam kejadian di kediaman mereka di Bandar Botanik, di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, makluman kejadian kira-kira jam 7 pagi itu diterima pihaknya selepas menerima panggilan daripada seorang lelaki yang juga abang suspek.

Menurutnya, mangsa berusia 28 tahun ditemui dalam keadaan terbaring di atas katil dengan kesan kelar di bahagian leher dan tangan kanan.

Wanita maut dibunuh suami

“Hasil bedah siasat mendapati mangsa mempunyai 12 luka hiris dan kelar antaranya di bahagian telinga kiri, pipi kiri, dagu, leher, bahu kanan, lengan kanan, dan jari manis,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, berikutan itu, pada hari yang sama sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah D9 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan telah menahan suami mangsa.

Katanya, suspek berusia 31 tahun yang bekerja sebagai pemandu lori itu kini direman tujuh hari sehingga 14 Jun untuk siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Tambah Hoong Fong, siasatan awal mendapati suspek dan isterinya (mangsa) mempunyai masalah rumah tangga sejak perkahwinan dua tahun lalu.

“Pasangan itu meninggalkan seorang anak perempuan berusia enam bulan,” katanya.

Ujarnya, siasatan masih dijalankan dan beberapa saksi akan dipanggil untuk dirakam keterangan termasuk ahli keluarga terdekat sebelum kertas siasatan dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya dalam tempoh terdekat.

Sebelum itu, kejadian itu turut tular di aplikasi X menerusi rakaman video berdurasi 33 saat oleh penduduk di pangsapuri terbabit yang memaparkan pasukan polis mengangkat mayat mangsa masuk ke dalam kenderaan pacuan empat roda.

Baca Juga:
Lipas merayap dalam bekas roti di kedai kek terkemuka buat netizen geli
Harga Diesel naik dari RM2.15 terus kepada RM3.35 bermula 12 malam ini
Pesara kerajaan rugi RM44,500 selepas diugut sebar video bogel