Wanita lukis anak patung seperti bayi sebenar raih perhatian dunia, dijual RM28,000 setiap satu.
Seorang ibu kepada empat anak berusia 50 tahun di Singapura menarik perhatian global dengan melukis anak patung tiruan seperti bayi sebenar yang dijual sehingga AS$6,000 (kira-kira RM28,000) setiap satu.
Memetik laporan South China Morning Post, Andrea Lee mempunyai minat melukis semasa zaman kanak-kanak tetapi mengetepikan impiannya demi mengutamakan tanggungjawab terhadap kerja dan keluarga.
Pada tahun 2021, selepas anak bongsunya sudah dewasa, dia memutuskan untuk menghadiri bengkel anak patung.
Berkongsi kemahirannya dalam talian, dia mula menerima pertanyaan daripada pengumpul yang berminat untuk membeli anak patungnya, lalu dia menyediakan laman web untuk menjual ‘karyanya’ itu. Anak patung tersebut diperbuat daripada silikon atau vinil dan direka dengan teliti untuk meniru rupa bayi sebenar.
Proses itu melibatkan seorang pengukir yang membuat anak patung tersebut sebelum menyerahkannya kepada Lee. Wanita itu kemudian melukis anak patung berkenaan.
Lukisan terperinci dan implan rambut adalah proses yang mencabar dan memakan masa. Ia boleh mengambil masa tiga hingga enam minggu untuk mencipta warna kulit seperti bayi sebenar, manakala kerja menanam setiap helai rambut dengan tangan boleh mengambil masa sehingga 40 jam.
Lee kemudian memakaikan pakaian pada patung bayi tersebut, memuat naik foto ke laman webnya dan menyenaraikannya untuk dijual.
Dia memberikan setiap anak patung dengan nama istimewa dan butiran seperti ketinggian dan harga.