Wanita kecewa beli kuih keria tapi yang dapat ‘Keria Tanghulu’
Setiap kali tibanya bulan Ramadan, pasti ada pelbagai kisah menarik yang mencuit hati.
Selain ‘berperang’ di dapur untuk menyediakan sahur dan iftar bersama keluarga, ramai yang menantikan momen istimewa sepanjang bulan mulia ini.
Solat Tarawih berjemaah dan moreh turut menjadi aktiviti yang dinikmati, namun perkara yang paling dinanti-nantikan oleh semua—baik Muslim mahupun bukan—adalah kemunculan bazaar Ramadan.
Hanya muncul setahun sekali, bazaar Ramadan memang boleh diibaratkan sebagai ‘syurga makanan’. Namun, keghairahan memilih juadah berbuka kadangkala membuatkan ramai rambang mata hingga terbeli lebih daripada keperluan.
‘Keria Tanghulu’ Buat Wanita Kecewa
Dalam kehangatan bazaar Ramadan tahun ini, satu perkongsian di media sosial telah menarik perhatian ramai.
Seorang wanita meluahkan rasa kecewa selepas membeli kuih keria untuk berbuka puasa.
Mana tidaknya, kuih keria yang sepatutnya mempunyai tekstur lembut di dalam dan rangup di luar itu bertukar menjadi terlalu keras.
Lebih melucukan, wanita itu beberapa kali mengetuk kuih tersebut ke atas bekas makanan, dan bunyi yang terhasil benar-benar ‘kuat’, seolah-olah mengetuk sesuatu yang keras.
“Allah uji sebab Allah sayang,” tulis wanita itu dengan nada berseloroh.
Seperti dijangka, ruangan komen perkongsian itu dibanjiri pelbagai reaksi netizen, yang bukan sahaja terhibur malah turut meninggalkan komen-komen kreatif yang menggelikan hati:
“Bahan-bahan kuih keria – 1kg gula pasir, 1kg simen.”
@mnyoongi__Allah uji sebab allah sayang 😔✊🏽
“Risau nak makan. Takut tinggal gusi je.”
“Ni bukan keria biasa, ni keria display yang akak ambil ni.”
“Jangan buang sis, boleh buat pengetuk paku nak gantung langsir raya nanti.”
“2 in 1, beli keria dapat anak lesung sekali rupanya.”
“Betul la tak pandai masak tidak mengapa, asalkan jangan berniaga di bazaar.”
Walaupun kisah ini mengundang tawa, ia juga menjadi peringatan kepada para peniaga agar lebih teliti dalam penyediaan makanan untuk memastikan pelanggan mendapat juadah yang berkualiti.