Wanita kecewa bela ‘biawak hidup’ suami pemalas hobi memancing

Wanita kecewa bela ‘biawak hidup’ suami pemalas hobi memancing

Fitrah setiap manusia, pasti mempunyai keinginan untuk memiliki pasangan hidup.

Begitu juga bagi seorang wanita yang ingin dikenali sebagai Izah yang turut menyimpan hasrat yang sama.

Namun, disebabkan masalah ‘introvert’ atau sikap pemalu yang ada dalam dirinya membuatnya sukar untuk berkenalan dengan mana-mana lelaki.

“Ketika menuntut di universiti, saya mempunyai keinginan untuk mencari pasangan, tetapi disebabkan masalah ini saya malu untuk berkenalan dengan mana-mana lelaki.

Wanita kecewa bela 'biawak hidup' suami pemalas hobi memancing

“Pernah saya menaruh perasaan pada rakan sekelas, tetapi saya hanya pendamkannya dalam hati kerana malu untuk menegurnya,” katanya yang kini berusia pertengahan 30-an.

Rezeki setelah tamat pengajian, Izah mendapat pekerjaan di ibu kota.

Izah mengakui apabila dia bekerja di situ dia mendapati ada seorang lelaki bekerja di tempat sama yang sering memandangnya dan mengukir senyuman kepadanya.

Beberapa bulan selepas itu, lelaki tersebut menghubunginya melalui aplikasi WhatsApp dan menyatakan ingin berkenalan dengan Izah.

“Di situlah bermulanya perkenalan kami dan setelah lebih sebulan berhubung antara satu sama lain saya memberanikan diri untuk keluar bersamanya.

“Lama-kelamaan saya semakin selesa dengannya dan kami memutuskan untuk menjalinkan hubungan lebih serius,” jelasnya.

Meskipun suaminya itu 10 tahun lebih tua daripadanya, Izah menerimanya sepenuh hati.

Setelah beberapa bulan menjalinkan hubungan, mereka berdua akhirnya mengambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga.

Lima tahun pertama perkahwinan mereka semuanya baik-baik sahaja dan dalam tempoh itu juga Izah mendapat tawaran kerja yang lebih baik di tempat lain.

Namun, rumah tangga yang dibinanya diuji setelah suaminya itu terpaksa diberhentikan kerja setelah syarikat tempatnya bekerja berhadapan dengan masalah kewangan.

Suaminya itu mendapat sedikit pampasan apabila diberhentikan kerja untuk meneruskan kehidupan.

“Apabila dia diberhentikan kerja, saya menenangkannya dan memintanya untuk mencari kerja lain.

“Malah, saya juga yang membantunya menyediakan resume bagi mencari pekerjaan baharu,” terangnya.

Izah mengakui dengan usia suaminya yang semakin lanjut sukar untuknya mencari kerja yang sesuai. Malah, ada beberapa sesi temu duga yang dihadiri berakhir dengan kekecewaan.

Dalam masa sama, Izah mengakui lama-kelamaan duit pampasan yang diterima suaminya itu semakin berkurang.

Kemudian, dia pula yang terpaksa mengambil alih peranan dan tanggungjawab sebagai ketua keluarga serta menanggung perbelanjaan mereka sekeluarga.

Dalam masa sama, Izah mengakui suaminya itu sebenarnya mempunyai hobi memancing.

“Setelah diberhentikan kerja saya melihat dia semakin malas dan banyak menghabiskan masa dengan memancing terutamanya di kolam.

“Dia tidak bersungguh-sungguh untuk mencari kerja dan ketika malam dia akan pergi memancing di kolam dan pulang keesokan paginya dan selepas itu tidur seharian,” terangnya yang dikurniakan seorang cahaya mata.

Tambahnya, itulah rutin yang sering dilakukan oleh suaminya.

Apabila wang simpanan mula berkurang, suaminya melepaskan tanggungjawab yang sepatutnya.

Sebelum ini, mereka berkongsi untuk membayar segala perbelanjaan termasuklah rumah yang dibeli.

Namun sejak itu, suaminya mula culas untuk menunaikan nafkah zahir dan semuanya ditanggung oleh Izah sahaja.

Ada ketikanya, apabila tiada wang untuk pergi memancing, suaminya itu akan mengambil wang di dalam beg tangan Izah tanpa pengetahuannya.

Izah mula berasa dia seperti membela ‘biawak hidup’ dan rumah tangga mereka tidak lagi bahagia seperti sebelum ini.

“Saya ada berbincang dengan suami dan memintanya serius mencari kerja.

“Seperti masuk telinga kanan, keluar telinga kiri apa yang saya katakan itu dan saya mula melihat dia selesa dengan kehidupannya itu,” bicaranya.

Suaminya itu langsung tidak berubah dan Izah juga sudah merasa sudah tidak wajar untuk terus kekal bersama.

Setelah berfikir panjang, Izah kemudian mengambil keputusan untuk berpisah dengan suaminya itu.

“Saya memutuskan untuk berpisah dengan suami saya, dia pada mulanya enggan melepaskan saya.

“Namun saya nekad dengan keputusan dan akhirnya kami sah berpisah di sebuah mahkamah syariah di Lembah Klang,” terangnya.

Baca Juga:
Aliff Aziz akhirnya buka mulut – “Saya menyesal…”
Selepas tular video ‘perang mulut’ antara dua individu, Lembaga Maktab Mahmud nafi wujud kartel
Jika perkara ini berlaku, berjuta rakyat Malaysia akan hilang kerja
CATEGORIES