Wanita ini singkap rahsia kenapa digelar ‘Auntie Purple’ oleh netizen. Memiliki 80 peratus koleksi pakaian dan barangan rumah warna ungu, Noor Suhaili Mohamed Amin, 44, digelar Auntie Purple oleh netizen.
Menurutnya, dia turut mempunyai satu ruangan khas untuk menyimpan baju warna ungu.
“Sebenarnya nama Auntie Purple netizen bagi selepas mereka menonton video saya di media sosial. Sejak itu saya pun gunakan nama ini untuk jenama diri sendiri. Diakui saya memang sukakan ungu termasuklah baju kahwin.
“Semua barang rumah termasuk perabot dan barangan elektrik kalau boleh nak ungu. Malah, bilik tidur utama pun sama. Suami saya okay saja dan dia sokong minat saya. Katanya asal sedap mata memandang . Kebanyakan koleksi baju pun, 80 peratus ungu siap ada ruangan khas.
“Bagi saya, kalau tidak ada ungu tak cantik. Saya sanggup tak beli barang itu. Melainkan kalau memang tidak ada pilihan, saya terpaksa ambil warna selamat iaitu putih,” katanya.
Disebabkan mula menjadi perhatian, Suhaili yang juga ibu kepada tiga anak ini mula berjinak-jinak sebagai penghasil kandungan ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 (PKP 2.0) pada 2021.
Menariknya, semua video yang dimuat naik mengetengahkan teknik suntingan yang pelbagai dan dianggap luar biasa hingga menjadi ikutan pengguna laman sosial.
Kandungan video yang dibuat itu memaparkan transisi dirinya menggayakan baju, tudung dan koleksi warna ungu.
“Sebelum PKP saya ada perniagaan butik pengantin. Namun, sejak PKP bisnes memang tak jalan. Sejak itu, saya mula buat video. Dari sekadar suka-suka, akhirnya menjadi kerjaya hingga kini. Selepas video menjadi perhatian, jumlah pengikut bertambah. Saya peroleh pendapatan pertama menerusi video ulasan masa pengikut saya 30,000. Sejak itu, semakin banyak permintaan untuk saya buat ulasan. Alhamdulillah, untuk diri sediri saya anggap ia pendapatan lumayan dan dapat bantu keluarga.
“Soal suntingan video pula idea memang daripada saya. Saya belajar sendiri. Diakui memang bukan mudah kerana ia ambil masa lama. Itu belum lagi dari segi persiapan yang mana ada ketika kena buat dua minggu awal sebelum rakaman dibuat.
“Kadang anak saya ada bantu buat suntingan. Suami dan anak-anak memang sokong apa saya buat. Asal saja kandungan video itu bukan yang keterlaluan. Saya juga akan minta izin dan tanya pendapat anak-anak sebelum muat naik video,” katanya.
@auntiepurple248 Replying to @Jessie♡ Korang ni asyik suruh lawan je tau. nah💜💜 #transition #purplelover ♬ Made You Look – Meghan Trainor