Wanita hilang kedua belah kaki digilis forklift. Wanita warga emas kehilangan kedua-dua belah kaki selepas digilis trak angkat susun (forklift) dalam kejadian di Kompleks MASKargo, di sini, hari ini.
Dalam kejadian itu, mangsa, Jami @Jumi Shariff, 75, dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Barat Daya, Leftenan (PA) Noor Azizan Zakaria berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 12.16 tengahari.
Katanya, empat anggota bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan.
“Kita mendapat maklumat mengenai kejadian itu dan ketika tiba di lokasi didapati kedua-dua belah kaki mangsa yang berusia 75 tahun hancur digilis jentera berkenaan.
“Anggota pasukan kemudian memberi rawatan awal dengan membuat balutan dan memasang alat sokongan pada kaki mangsa,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Mengulas lanjut Noor Azizan berkata, ketika diberi rawatan, mangsa masih berada dalam keadaan sedar.
“Mangsa juga berada dalam keadaan stabil ketika dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya lagi.
Terdahulu, video kejadian itu turut tular di media sosial dan mendapat perhatian warganet.
Video berdurasi 15 saat itu memaparkan mangsa yang sedang berjalan di kawasan kargo itu dilanggar trak angkat susun.
Difahamkan mangsa bekerja sebagai pekerja di bahagian pembersihan di kawasan itu tinggal di Sungai Burung, Balik Pulau.
Rakaman CCTV seorang wanita berusia 75 tahun dilanggar forklift hingga mengakibatkan kedua-dua kakinya hancur dalam kejadian di Kompleks MASKargo Bayan Lepas, Pulau Pinang hari ini pic.twitter.com/P0sXVsrPcX
— nan manjoi8715 (@nanmanjoi8715) February 27, 2023