Wanita hamil 5 bulan alami keguguran setelah dihempap pokok tumbang

Photo of author

By Syima Iza

Wanita hamil yang cedera selepas kemalangan motosikal bersama suaminya akibat ditimpa pokok tumbang semasa ribut melanda di Kampung Padang Benta, Simpang Empat, di sini, pagi tadi, mengalami keguguran apabila kandungannya disahkan meninggal dunia.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Baeyah Abdul Wahab berkata, pemeriksaan di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar mendapati, Nuraleya Syazreena Roslan Anuar, 18, yang menunggang Yamaha Y15 mengalami pendarahan dalam kepala dalam kejadian itu.

“Selain itu, Nuraleya Syazreena turut patah tulang pinggang kiri dan kanan, manakala kandungannya yang berusia lima bulan disahkan meninggal dunia oleh doktor.

Wanita hamil 5 bulan alami keguguran setelah dihempap pokok tumbang

“Dia masih dirawat di wad kecemasan HTF bersama suaminya yang patah tulang peha kaki kanan,” katanya dihubungi Harian Metro.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati, ketika kejadian, Nuraleya Syazreena menunggang motosikal berkenaan manakala suaminya, Muhammad Danish Hakim Hanizam, 18, membonceng.

“Kejadian jam 3 pagi itu berlaku ketika pasangan berkenaan dalam perjalanan pulang dari sebuah kedai makan di Sungai Baru, Simpang Empat menuju ke kediaman mereka di Kampung Sungai Bugis.

“Tiba di lokasi kejadian 15 minit kemudian, sebatang pokok tumbang menghempap motosikal dinaiki mereka,” katanya.

Kedua-dua mangsa dibawa ke HTF Kangar untuk rawatan.

Baca Juga:
Wanita tak puas hati isu pembahagian daging korban, AJK Masjid pulangkan semua termasuk dua telinga
Restoran diarah tutup serta merta selepas suami isteri jumpa bangkai tikus dalam kuah tosai
‘Apa masalah kau?’ – Pemandu undur kereta secara mendadak selepas bayar tol undang tanda tanya