Wanita ‘enjoy’ jual sayur kampung, tunggang motosikal dari Changkat Jering ke KL

Photo of author

By Syima Iza

Wanita ‘enjoy’ jual sayur kampung, tunggang motosikal dari Changkat Jering ke KL.

Kerana minat berniaga, seorang wanita nekad menempuh perjalanan jauh ratusan kilometer dengan menunggang motosikal dari Changkat Jering untuk menjual sayur kampung segar di Kuala Lumpur.

Siti Norol Salwani Ismail, 29, yang pernah bekerja sebagai penghantar makanan akan menunggang motosikal setiap Sabtu ke Bandar Sri Permaisuri, Cheras untuk menjual petai, pucuk paku, pucuk ubi, bayam brazil, nangka muda, durian belanda, jering dan ulam-ulaman.

Wanita 'enjoy' jual sayur kampung, tunggang motosikal dari Changkat Jering ke KL

Menurutnya, perancangan awal menjual sayur dan ulam-ulaman bermula pada Julai tahun lalu kerana merasakan ia akan mendapat permintaan tinggi.

“Idea menjual ini secara spontan apabila terbeli pucuk paku yang sudah tua, ulam-ulam tidak segar selain harga yang mahal.
“Saya teruskan perancangan berpindah ke Bukit Gantang dan berulang-alik setiap Sabtu untuk menjual sayur. Sayur-sayur ini dikutip sendiri dan beli daripada penduduk,” katanya ketika dihubungi di sini pada Ahad.

Siti Norol Salwani berkata, jualan sayur-sayur kampung sangat laris dan dia memperoleh keuntungan sekitar RM300 sehari.

“Tidak kekok sebenarnya menunggang motosikal kerana hampir 10 tahun tinggal di Kuala Lumpur. Empat bulan berulang-alik dari Changkat Jering ke Kuala Lumpur.

“Sepanjang berniaga, ada yang menasihatkan untuk jual di kampung sahaja, tak berbaloi kerana jarak jauh dan sebagainya tetapi saya ‘enjoy’ berniaga sambil menyara kehidupan bersama anak,” katanya.

Bagaimanapun, usaha wanita muda berasal dari Bachok, Kelantan itu untuk terus mencari rezeki di ibu kota terhenti pada November tahun lalu apabila jentera dua tayar jenis Honda Dash yang dibelinya sejak 2018 sering rosak.

Siti Norol Salwani yang baru mendirikan rumah tangga kali kedua Jumaat lalu, menerima galakan daripada suaminya, Hazimin Radzi, 34, untuk meneruskan minat berniaganya itu.

Sekarang saya berniaga nasi kerabu dan laksam, kadang kala ada juga menerima tempahan. Usaha mengumpul deposit motosikal dilakukan sedikit demi sedikit bagi menggantikan motosikal lama.

“Saya mahu beli Yamaha LC secara ansuran. Dapat motosikal baru ini mungkin saya akan teruskan berniaga ulam-ulam di Kuala Lumpur seperti biasa,” katanya.

Baca Juga:
Pengantin menitis air mata bersanding sendirian, suami larikan diri kerana terlalu ‘pemalu’
Masuk kandang singa untuk ‘selfie’, lelaki maut dibaham
Pelancong Malaysia kibar jalur gemilang di monumen Taj Mahal kena tegur, dibenarkan keluar selepas mohon maaf