Wanita dihukum penjara selama 235 tahun.
Seorang pembantu kedai dijatuhi hukuman penjara selama 235 tahun selepas didapati bersalah atas puluhan pertuduhan mencuri barang kemas bernilai kira-kira 25 juta baht (RM3.02 juta) dari kedai emas majikannya di Khon Kaen, Thailand.
Menurut laporan Bangkok Post, pemilik kedai emas membuat laporan polis selepas curiga apabila melihat rantai emas terjatuh dari poket apron yang dipakai oleh wanita itu, dua bulan lalu.
Suspek mendakwa rantai emas tersebut mungkin secara tidak sengaja terjatuh ke dalam poket apronnya ketika dia berdiri di kaunter pameran.
Namun, selepas meneliti rakaman kamera keselamatan, pemilik kedai mendapati terdapat 47 kejadian di mana wanita itu mencuri barang kemas sejak tahun 2021. Barang kemas yang dicuri dianggarkan bernilai sekitar 25 juta baht.
Hasil Curi Digunakan untuk Beli Tanah dan Barang Berharga
Polis memaklumkan bahawa barang kemas yang dicuri itu digunakan untuk membeli tanah dan pelbagai barang berharga lain. Malah, wanita tersebut turut memuat naik status di akaun Facebook miliknya, menunjukkan motosikal baharu serta barang kemas baharu yang dimiliki.
Pemilik kedai menyatakan telah berulang kali meminta suspek memulangkan semua barang kemas yang dicuri. Namun, hanya barang bernilai tujuh juta baht (RM897,225) yang dipulangkan.
Menurut pemilik, wanita itu telah bekerja di kedai emas tersebut selama kira-kira 10 tahun.