Wanita digelar ‘Ratu Bertuah’ dedah rahsia menang 500 kali cabutan bertuah dalam masa setahun.
Seorang wanita di Jepun mendakwa telah memenangi kira-kira 500 cabutan bertuah melalui pelbagai acara dalam tempoh setahun.
Menurut South China Morning Post, jumlah hadiah terkumpul yang dimenangi oleh wanita tersebut dianggarkan bernilai kira-kira RM300,140.
Dikenali sebagai “Ratu Bertuah,” Kanae Hirayama baru-baru ini tampil berkongsi rahsia kejayaannya melalui sebuah program televisyen Jepun bertajuk I Will Make You Happy: The Queen Teaches You Winning Techniques.
Dalam program itu, Hirayama mendedahkan bahawa lebih separuh daripada barangan di rumahnya diperoleh melalui cabutan bertuah atau undian kemenangan.
Difahamkan, adalah perkara biasa bagi perniagaan di Jepun untuk mengadakan undian atau cabutan bertuah dalam talian dan menawarkan hadiah sebagai strategi pemasaran.
Ratu Bertuah Menang 500 Cabutan Bertuah dalam Setahun
Antara hadiah yang pernah dimenangi oleh Hirayama termasuk periuk, kotak bento, cawan, mainan kanak-kanak, bola yoga, dan makanan ringan.
Selain itu, dia juga pernah memenangi hadiah yang lebih mahal seperti ketuhar bernilai 70,000 yen (RM2,030) dan penapis air bernilai 100,000 yen (kira-kira RM2,900).
Menerangkan strategi yang digunakannya, Hirayama berkata penting untuk mendaftar penyertaan hampir dengan tarikh tutup pertandingan.
“Banyak penganjur menggunakan proses pemilihan manual. Jadi, lebih cepat penganjur melihat nama anda, lebih tinggi peluang untuk menang,” jelas Hirayama.
Empat Jam Setiap Hari untuk Cabutan Bertuah
Dia turut menekankan kepentingan masa, di mana dia lebih mengutamakan pertandingan yang diadakan pada awal dan hujung tahun kerana ramai yang sibuk pada waktu ini, yang mungkin mengurangkan jumlah penyertaan dan meningkatkan peluang kemenangannya.
Namun, Hirayama menegaskan bahawa ketekunan adalah aspek paling utama dalam memastikan kemenangan. Setiap hari, dia bangun pada pukul 6 pagi untuk menyediakan sarapan bagi keluarganya, sebelum meluangkan masa mencari pelbagai pertandingan cabutan bertuah dalam talian dan merekodkan kemas kini dalam buku nota secara teliti.
Secara purata, dia meluangkan kira-kira empat jam setiap hari untuk menyertai atau menyiapkan diri dalam cabutan bertuah.
Pendedahan yang dibuat oleh Hirayama pantas menarik perhatian orang ramai, yang rata-ratanya berterima kasih atas perkongsian wanita tersebut.