Wanita digelar ‘Cik Sianida’ dihukum mati.
Seorang pembunuh bersiri di Thailand telah dijatuhi hukuman mati selepas didapati meracuni seorang rakannya. Pada masa yang sama, dia juga berdepan sejumlah pertuduhan membunuh lain, lapor akhbar The Sun UK semalam.
Sararat Rangsiwuthaporn, 36, yang digelar ‘Cik Sianida’, dituduh meracuni 14 rakannya menggunakan bahan kimia maut itu kerana berhutang kepada mereka.
Mahkamah di Bangkok semalam mendapati Sararat bersalah kerana meletakkan racun dalam makanan dan minuman salah seorang mangsanya, Siriporn Khanwong.
Kejadian berlaku pada April 2023, ketika tertuduh dan mangsa melawat wilayah Ratchaburi untuk melepaskan ikan ke jeti dan makan tengah hari.
Namun, beberapa saat selepas menikmati makanan, mangsa rebah dan meninggal dunia di tebing sebatang sungai, sementara suspek hanya memerhatikan mangsa bergelut, menurut laporan polis.
Hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia akibat keracunan sianida.
Selepas siasatan, polis menahan Sararat pada Mei 2023 dan mendakwanya atas 14 pertuduhan membunuh sejak tahun 2015. Seorang pegawai polis mengesahkan bahawa sianida digunakan dalam setiap kes pembunuhan itu.
Mangsa pembunuhan termasuk rakan, bekas rakan kongsi, dan seorang pegawai polis yang dikenali tertuduh. Daripada 14 mangsa, 12 adalah wanita manakala dua lagi lelaki. Bagaimanapun, seorang daripada mereka terselamat.
Semasa perbicaraan, Sararat mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan, tetapi mengakui menggunakan sianida, menurut laporan agensi berita Reuters yang memetik kenyataan polis.
Mahkamah turut mengarahkan Sararat membayar pampasan sebanyak dua juta baht (RM260,000) kepada keluarga mangsa.
Polis percaya motif pembunuhan adalah kewangan, selepas tertuduh mengumpul hutang kad kredit yang besar akibat ketagihan judi.