Wanita dedah tak ‘Selera’ bersama suami, tak sanggup hadap mulut busuk.
Isu kecil dalam perkahwinan mungkin dianggap remeh oleh sesetengah pasangan suami isteri, tetapi ia boleh memberi kesan besar jika tidak ditangani dengan baik.
Sebagai contoh, tabiat pasangan yang kurang menjaga kebersihan boleh menjadi punca perselisihan faham dan mengganggu keharmonian rumah tangga.
Dalam satu hantaran di laman sosial, seorang wanita berkongsi kisah rumah tangganya yang semakin dingin disebabkan tabiat buruk suaminya yang malas menggosok gigi.
“Dulu dia rajin je gosok. Masuk tahun keempat perkahwinan ni, dia mula tunjuk perangai dia sikit-sikit. Sekarang dah lima tahun berkahwin, dalam dua minggu, saya rasa ada lah empat kali saya nampak dia gosok gigi,” katanya.
“Ramai respons kata suami saya ambil dadahlah, ada masalah mental lah. Setakat ni apa yang saya perhati, dia tak ada ambil benda terlarang and mental dia masih okay.
“Masalah dekat sini ialah, saya dah kerap sangat nasihat. Dah makan tahun. Tapi tak jalan juga nasihat saya,” luahnya.
Bercerita lebih lanjut, wanita yang enggan dikenali itu mengakui bahawa tabiat buruk suaminya yang enggan menjaga kebersihan telah menyebabkan hubungan intim mereka semakin dingin.
“Bila dia ajak saya ‘bersama’ pun, saya rasa tak lalu dekat suami sendiri sebab bau yang tidak menyenangkan.
“Dalam setahun, boleh kira berapa kali sahaja saya terima ajakan untuk ‘bersama’. Saya rasa jijik. Bila saya nasihatkan dia, sama juga, dia tunjukkan kemalasan dia,” ujarnya.
Disebabkan ‘penat’ menghadap sikap suaminya yang ibarat mencurah air ke daun keladi, terlintas dalam fikiran wanita itu untuk menuntut cerai.
“Sampai saya terfikir untuk pergi ke pejabat agama tuntut cerai. Boleh ke tuntut cerai kalau suami tak gosok gigi dan kita tak ‘lalu’ dah nak bersama?
“Serabut saya fikir. Saya dah tawar hati betul lah bab ni,” luahnya lagi.
Perkongsian wanita tersebut mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan warga maya, dengan kebanyakan mereka meluahkan rasa simpati dan memberikan nasihat berhubung isu yang dihadapinya.
“Banyak je sis yang bercerai sebab perkara macam ni. Kita rasa remeh tapi sebenarnya yang hadap je tahu macam mana. Memang geli lah tak gosok gigi.
“Pengotor. Kalau dah banyak kali berbincang baik-baik, tapi tak nak berubah, mungkin ugutan cerai tu jalan terbaik.
“Awak tolong dia gosok gigi. Mungkin dia tak pandai… macam budak juga, kena ajar sampai pandai bahawa kebersihan gigi memang wajib digosok setiap hari,” antara komen netizen.