Wanita cuba terjun dari tingkat 8 berjaya dipujuk kakak. Seorang wanita membatalkan hasrat terjun bangunan dari tingkat lapan setelah dipujuk kakaknya dalam kejadian di sebuah pangsapuri di Sungai Tangkas di sini tengah hari tadi.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II, Shamsul Kamarudin berkata, seramai tujuh anggota dan pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bangi dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada pukul 1.45 tengah hari.
“Setibanya di lokasi, kami mendapati wanita terbabit bertindak mengunci bilik sebelum berada di luar tingkap bilik tidurnya.
“Mangsa yang berusia 27 tahun itu bagaimanapun berjaya dipujuk kakaknya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Shamsul, mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.