Wanita berangan ‘Kahwin anak raja’ diburu polis.
Polis sedang mengesan seorang wanita yang mendakwa kononnya akan melangsungkan perkahwinan dengan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, berikutan hantaran yang tular di media sosial.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, pihaknya telah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana fitnah dan penyalahgunaan perkhidmatan rangkaian.
“Kita sedang menyiasat perkara ini dan dalam tindakan mengesan suspek,” katanya.
Pada hari Selasa lalu, Istana Pahang menafikan sebarang perancangan perkahwinan melibatkan Tengku Hassanal dengan seorang wanita, yang kononnya akan berlangsung pada bulan April tahun depan.
Menurut Pengelola Bijaya Diraja Utama Sultan Pahang, Mejar Jeneral Datuk Mohamed Zahari Yahya, dakwaan tersebut adalah tidak berasas dan berunsur fitnah.
Hantaran yang tular itu dimuat naik di Instagram oleh pengguna bernama Faridah Daud (faridah.daud_l), yang mendakwa dirinya bakal melangsungkan perkahwinan dengan Tengku Hassanal.
Wanita itu juga didakwa memberikan butiran palsu mengenai majlis perkahwinan diraja itu yang mencetuskan kekeliruan dan menjadi bahan spekulasi di media sosial.