Sarapan merupakan waktu makan pertama dan diambil selepas kita bangun daripada tidur di pagi hari. Apabila kita bersarapan, badan kita akan mempunyai tenaga yang cukup untuk memulakan aktiviti harian.
Di Malaysia, antara menu sarapan yang menjadi pilihan utama tentunya nasi lemak, roti canai atau pun roti goyang, kan? Biasanya, hidangan di atas akan digandingkan dengan segelas teh tarik, teh o ataupun kopi.
Namun begitu, ada juga yang memilih juadah sarapan yang lebih ‘ringan’ dan ringkas seperti bijirin, kuih-muih, sandwich ataupun buah-buahan.
Bagi penggemar sandwich, juadah ini disukai kerana ia merupakan antara makanan segera yang menyihatkan. Malah ada pelbagai jenis resipi sandwich yang boleh dicuba setiap hari.
Wanita Ini Gabungkan Petai dan Avokado dalam Resipi Sandwich
Baru-baru ini, seorang pengguna TikTok mencipta sensasi apabila dia berkongsi resipi sandwich gaya Australia yang menggabungkan avokado dengan petai.
Perkongsian oleh @simplegreensoul pantas menjadi viral dan menarik perhatian warganet dari Malaysia kerana petai merupakan sejenis ulam-ulaman yang sangat dekat dengan masyarakat tempatan.
Berbalik kepada resipi sandwich itu tadi, @simplegreensoul turut berkongsi amalan yang wajib dilakukan oleh mereka yang ingin menikmati ulam tersebut.
Katanya, isi petai perlu dibelah terlebih dahulu untuk memastikan tiada ulat hidup di dalamnya. Kemudian, isi petai hendaklah direbus supaya menjadi lembut dan lebih mudah untuk dipotong kecil-kecil.
@simplegreensoul seterusnya meletakkan isi petai yang sudah direbus bersama avokado di dalam satu bekas untuk dilenyek sehingga halus.
Wanita itu turut menambah jus limau nipis dan serbuk cili untuk digaul bersama.
Selepas itu, @simplegreensoul menyapu ‘inti’ berkenaan di atas sekeping roti sebelum menambah sekeping roti pada bahagian atas.
Maka, siaplah sandwich gaya Australia berkenaan.
Video Berkenaan Mendapat 1.1 Juta Tontonan di TikTok
Aku sebagai peminat petai, membantah makan petai dengan roti dan avocado. Puliss tangkap dia pic.twitter.com/6252r4funZ
— Farid Affy Maukerja (@faridaffy) July 12, 2024
Menurut @simplegreensoul, sandwich berkenaan sangat sedap untuk dinikmati dan mengakui tidak ambil pusing dengan pandangan orang lain berkenaan resipi tersebut.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna TikTok khususnya rakyat Malaysia tergamam dan tidak boleh membayangkan rasa makanan itu apabila dicampurkan bersama petai.
“Petai sandwich? sakit jantung dalam kemelayuan” komen seorang wargamaya.
“Kau tunggu. Aku masak kepala salmon tempoyak Temerloh style kejap lagi,” komen seorang lagi wargamaya.