Wanita anti penyondol, terkejut ‘tersondol’ abang kepada kakak ipar sendiri

Photo of author

By Syima Iza

Wanita anti penyondol, terkejut ‘tersondol’ abang kepada kakak ipar sendiri. Istilah penyondol yang kerap didengari sejak kebelakangan ini merupakan gelaran yang diberikan kepada seorang wanita yang merampas suami wanita lain.

Bagi Mira (bukan nama sebenar), dia cukup marah dan kerap menggelar golongan penyondol itu sebagai tidak bermaruah selama ini, selain mengakui tidak akan sesekali terjebak atau bermain cinta dengan suami orang.

Namun, Mira akhirnya terpaksa menjilat ludahnya sendiri apabila wanita berusia lewat 20-an itu menjalin cinta dengan suami orang.

Wanita anti penyondol, terkejut 'tersondol' abang kepada kakak ipar sendiri
Gambar hiasan

Lebih mengejutkan, lelaki tersebut merupakan abang kepada kakak iparnya sendiri.

Bercerita lanjut, Mira yang cukup antigolongan penyondol memberitahu bahawa dia merupakan seorang wanita yang sukar membuka hatinya kepada orang lain, lebih-lebih lagi selepas dia putus cinta dengan seorang lelaki bujang lebih lima tahun lalu.

Begitu pun, semuanya berubah apabila dia berkenalan dengan abang sulung kepada kakak iparnya.

“Saya berkenalan dengan Ali (bukan nama sebenar) semasa pandemik memandangkan Ali tinggal berdekatan dengan kediaman keluarga saya.

“Memandangkan ketika itu masing-masing tidak boleh keluar melebihi jarak 10 kilometer akibat pelaksanaan sekatan perjalanan, maka Ali adakalanya berkunjung ke kediaman kami sekiranya terdapat sebarang urusan,” ujar Mira.

Tambah wanita berkulit kuning langsat itu lagi, Ali tinggal berjauhan daripada isterinya yang bertugas sebagai seorang jururawat di sebuah negeri di utara tanah air.

Oleh sebab itu, lelaki itu cukup rapat dengan kakak ipar Mira dan secara tidak langsung, turut menjalin hubungan rapat dengan ahli keluarga Mira yang lain.

Pada mulanya, Mira hanya menganggap Ali sebagai seorang abang dan tidak lebih daripada itu.

Biarpun mengakui sedikit tertarik terhadap Ali memandangkan lelaki itu mempunyai perwatakan menarik, tinggi serta cukup matang apabila berbicara, namun Mira tidak pernah memasang niat untuk menghancurkan rumah tangga orang.

Begitu pun, semuanya berubah apabila Ali mulai kerap menghubungi Mira menerusi Instagram wanita itu.

“Saya terkejut apabila Ali mengikuti saya di Instagram dan kerap membalas insta story saya.

“Selepas kerap berhubung di media sosial, Ali mula memberanikan diri dengan menghubungi saya di WhatsApp.

“Saya akui, sedikit sebanyak hati wanita saya semakin terusik dan ketika itu saya sudah mulai menyukai Ali,” ujarnya.

Hubungan kedua-dua mereka berlanjutan selama beberapa bulan dan kebanyakan komunikasi berlangsung menerusi WhatsApp memandangkan Ali enggan perbuatannya itu diketahui oleh kakak ipar Mira.

Begitu pun, Ali adakalanya akan membawa Mira keluar makan selepas waktu bekerja memandangkan dia juga gemar menghabiskan masa dengan wanita itu.

Bahkan akuinya, mereka juga pernah beberapa kali terlanjur, namun perkara tersebut berjaya disembunyikan dengan baik.

Semakin hari, Mira semakin menyayangi Ali dan berharap agar lelaki itu benar-benar serius dengannya.

Begitu pun, selepas Mira terbuai dengan layanan Ali, Mira mendapat tahu bahawa isteri Ali mengambil cuti panjang oleh kerana faktor peribadi dan mereka tidak lagi berjauhan.

“Ketika itu, saya menjadi sedih, namun sedar kedudukan saya dalam hidup Ali. Saya berlapang dada dan mulai menjauhi Ali.

“Sangka saya, Ali juga akan melakukan perkara sama, namun ternyata dia masih menghubungi saya seperti selalu.

“Biarpun terkejut, saya senang dengan perkara itu kerana amat sukar untuk saya membuang perasaan ini terhadapnya,” luah Mira.

Kebahagiaan tersebut ternyata tidak bertahan lama apabila kakak ipar Mira mendapat tahu tentang skandal antara Mira dengan abangnya.

Berang dengan hal itu, kakak ipar Mira mulai mengugut untuk memberitahu perkara tersebut kepada isteri Ali.

Mira kemudiannya berjanji untuk menjauhkan diri daripada Ali, namun setiap kali Ali menghubunginya semula, dia kalah dan akan kembali melayani lelaki itu seperti biasa.

“Susah untuk saya buang terus perasaan ini. Saya perlukan masa dan Ali pula cukup pandai memujuk rayu saya.

“Kini, saya banyak menyibukkan diri dengan rakan-rakan dan juga kerjaya bagi membolehkan saya untuk move on dan tidak lagi mengharapkan kasih suami orang,” ujar Mira menutup bicara.

Baca Lagi:
Elak beli ikan buntal, hampir semua ikan buntal mengandungi racun
Wanita kecewa peniaga bazar Ramadan di Kuantan jual karipap berlendir dan berkulat
Wanita memiliki 3 suami tinggal sebumbung undang kontroversi