Walaupun rajin bersenam berat badan tetap naik, dimana silapnya? Ini 9 punca berat badan naik.
Walaupun rajin bersenam dan peka soal pemakanan, berat badan masih tetap sama tidak berganjak. Di mana silapnya?
Menurut pakar kecergasan dan pemakanan, dalam proses untuk menurunkan berat badan, ramai yang gagal kerana ia boleh berpunca daripada pelbagai sebab. Antaranya, tidak mengambil protein dalam diet seharian, terutama semasa bersarapan dan makan malam, tidak mempunyai waktu makan yang teratur dan banyak lagi.
Menurunkan berat badan mudah dilakukan dengan pelbagai cara seperti mengamalkan diet yang menepati diri anda selain menghindari makanan proses yang mengandungi kandungan gula yang tinggi. Kedua-dua ini merupakan antara sebab utama proses menurunkan berat badan menjadi lebih sukar jika ia tidak diberi tumpuan.
Pengambilan protein yang mencukupi juga sangat penting terutama pada waktu pagi kerana ia mampu untuk membakar kalori sepanjang hari.
Malah, ia dapat mengurangkan keinginan untuk makan, mengawal tekanan, tingkatkan ‘mood’ dan sekaligus membantu anda dalam proses untuk turunkan berat badan.
Apa yang tidak harus dilakukan semasa seseorang sedang berdiet adalah makan apabila perut terasa lapar. Cara ini didapati tidak berkesan langsung dan tidak dapat membantu untuk mempercepatkan proses menurunkan berat badan.
Jika anda makan ketika sedang kelaparan, ia pasti akan membuka selera dan anda akan makan berlebihan dengan tanggapan nanti tidak perlu makan lagi!
Untuk mengelakkan masalah ini, anda digalakkan untuk makan mengikut jadual tetap yang boleh dilakarkan sendiri.
Rutin ini penting untuk memastikan anda tidak rasa lapar berterusan dan sekaligus membantu mengimbangi pemakanan yang lebih sihat.
Selain itu, elak makan terlalu lewat malam kerana inilah antara punca diet yang gagal. Sebaliknya, anda digalakkan untuk makan mengikut jadual pada waktu siang seperti menikmati salada segar dan sup. Ini dapat membantu untuk mengenyangkan perut dan bertahan lebih lama pada waktu malam.
Bagi yang ketagih dengan air manisan atau bergas, ini juga akan menjejas diet yang sedang anda usahakan. Ramai yang bertanggapan air manisan dan bergas dapat memberi tenaga. Apa yang tidak disedari ramai, kandungan gulanya sangat tinggi dalam minuman ini.
Oleh itu, penting untuk elak minum air bergas. Sebagai alternatif, lebihkan pengambilan air putih.
Selain pemakanan, waktu tidur malam juga penting dan perlu diberi perhatian. Jika tidak mempunyai tidur malam yang mencukupi, ia juga boleh menyukarkan proses pembakaran lemak dan penurunan berat badan yang sedang anda usahakan.
9 PUNCA BERAT BADAN NAIK
Diet
uba perhatikan rutin pemakanan seharian anda. Ada di antaranya yang mungkin menumpukan pada seluruh tenaga untuk membakar kalori tanpa mempertimbangkan jenis makanan dan kuantiti yang dimakan sebagai bahan bakar. Penting untuk memastikan diet yang seimbang setiap hari.
Kardio
Bagi yang gemar melakukan senaman kardio, ia sememangnya baik untuk rutin seharian. Namun, penting untuk melakukan senaman ini secara seimbang dan jangan ‘over’.
Jika keterlaluan, ia juga boleh memberikan masalah pada kesihatan. Jika melakukan sesi kardio yang terlalu lama, ia ibaratkan seperti melakukan larian sejauh 10 batu dan akan tingkatkan kadar metabolisme. Lantas, membuat perut rasa lapar yang teramat dan berselera.
Rehat untuk pulih
Bagi yang sesuai dengan rutin bersenam seluruh tubuh, cuba selang-selikan rutin ini. Contohnya, buatlah rutin di mana anda menggunakan seluruh tubuh untuk sehari dan pada keesokannya lakukan pula kardio ringan atau anda juga boleh rehat sepenuhnya.
Tahukah anda dalam senaman, pemulihan dan rehat adalah lebih penting dari senaman itu sendiri. Dalam jangka masa inilah tubuh akan melalui proses pembakaran lemak.
Jika tidak memberi tubuh masa yang mencukupi untuk pulih, ia juga boleh menjadi negatif kerana anda akan mula menghasilkan kortisol yang berlebihan. Kortisol normal penting semasa bersenam kerana ia bantu untuk memberikan otot tenaga yang diperlukan untuk bergerak. Tapi, jika tubuh terdapat berlebihan kortisol ia akan memberi kesan dan menimbulkan masalah seperti kehadiran lemak yang tidak diingini di bahagian tubuh.
Sarapan
Betul ke kalau ingin langsing tak perlu makan pagi? Salah tu! Sarapan sangat penting untuk setiap manusia. Jika waktu makan tidak teratur terutama sarapan, anda pasti akan rasa lapar kemudian dan akan makan berlebihan pada waktu tengahari atau malam.
Walaupun anda kuat bersenam pada siang hari, berat badan boleh cepat naik dan semakin tidak terkawal jika waktu makan tidak teratur.
Makan lewat malam
Cuba elak untuk makan terlalu lewat. Selalunya mereka yang berdiet akan elak untuk makan selepas jam 7.00 malam. Tapi, jika ingin makan selepas itu pilihlah sajian yang menyihatkan seperti buah-buahan sebagai cemilan dengan jumlah yang berpatutan.
Saiz pinggan
Menggunakan saiz pinggan kecil boleh elakkan anda daripada mengambil terlalu banyak makanan. Cuba rutin ini setiap hari untuk mengawal jumlah pemakanan anda. Elak menggunakan piring atau mangkuk yang besar.
Makan buah sebelum sajian berat
Amalkan untuk makan buah-buahan ketika perut sedang kosong kerana ia dapat membantu untuk detoks sistem tubuh dan pengaruh untuk makan kuantiti yang sedikit. Biasakan makan buah anggaran 15 minit sebelum menikmati sajian utama dan bukan selepas perut sudah kenyang.
Penghadaman
Sebaiknya cuba biasakan untuk kunyah anggaran 30 kali atau lebih bagi setiap suap makanan. Pastikan untuk mengunyah makanan dengan baik kerana ia dapat membantu dalam proses pencernaan. Elak telan makanan tanpa mengunyah dengan betul kerana makanan yang tidak hadam boleh menjadi lemak.
Berjalan
Selepas makan, biasakan untuk berjalan anggaran 10 minit. Ia penting kerana dapat membantu dalam penghadaman selain mengurangkan lemak dalam tubuh secara berkesan, membuat anda lebih sihat. Berjalan boleh dilakukan di dalam dan sekeliling rumah atau di mana sahaja.