Walaupun menu sama setiap hari, ini rahsia terbesar kenapa restoran mamak sentiasa jadi pilihan orang ramai.
Merak Jalanan bukanlah hendak menyebelahi, jauh sekali mahu membodek restoran mamak. Baru-baru ini, seorang rakan bertanya kepada Merak Jalanan, “Kenapa setiap kali kita bercadang untuk makan atau melepak, restoran mamak sering menjadi pilihan?”
Tidak dapat dinafikan, restoran mamak umpama cendawan tumbuh selepas hujan. Merak Jalanan ambil contoh di Lembah Klang—di mana-mana sahaja, pasti kelihatan kedai mamak. Malah, kebanyakan daripada mereka beroperasi 24 jam. Tetapi, adakah sebab makanannya sedap?
Bagi Merak Jalanan, makanan di restoran mamak tidak jauh beza—nasi kandar, roti canai, mi goreng, teh tarik, atau ayam tanduri. Hari ini menu sama, esok pun sama, lusa tetap begitu juga. Tidak banyak perubahan.
Namun, jika terlalu kerap makan menu yang sama, pasti rasa muak juga akhirnya.
Pada pandangan Merak Jalanan, salah satu daya tarikan utama restoran mamak adalah servis mereka. Cepat dan pantas. Tanpa perlu memanggil, pelayan sudah datang ke meja untuk mengambil pesanan. Kita yang datang melepak dengan rakan-rakan pun rasa selesa.
Kadang-kadang terasa dilayan seperti seorang bos, walaupun hanya memesan segelas teh tarik. Jika ada pelanggan memanggil pekerja berkali-kali pun, mereka tidak merungut. Sebaliknya, dengan segera mereka datang bertanya jika ada tambahan pesanan.
Merak Jalanan juga menyedari bahawa restoran mamak mengamalkan ekosistem perniagaan yang sihat. Mereka mampu bersaing sesama sendiri, seolah-olah seperti sebuah keluarga besar, malah mereka juga bersatu di bawah satu ikatan, iaitu Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma).
Di sesetengah kawasan, ada sehingga empat atau lima restoran mamak yang bersaing sesama sendiri. Namun, walaupun bersaing, kesemua restoran tetap meriah dengan kehadiran orang ramai.
Mungkin kerana persaingan sihat inilah perniagaan mereka menjadi berkat. Inilah yang perlu dicontohi oleh peniaga Melayu. Jangan pula apabila restoran sebelah maju, dihantar santau!
Jadi, mungkin itulah sebabnya restoran mamak terus menjadi pilihan rakyat Malaysia. Servisnya cekap, perniagaannya berkat, dan suasananya mesra pelanggan.