Wahab J-KOM saman Chegu Bard RM5 juta

Photo of author

By Syima Iza

Wahab J-KOM saman Chegu Bard RM5 juta.

Bekas Penolong Pegawai Penerangan Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) Abdul Wahab Abd Kader Jilani memfailkan saman terhadap Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai ‘Chegu Bard’ yang didakwanya memfitnah, berhubung penyebaran satu video yang mengandungi perbualan lucah.

Abdul Wahab selaku plaintif memfailkan saman itu menerusi firma guaman Tetuan Faizal Rahman & Co pada 22 Dis 2023 di Mahkamah Tinggi di sini, dengan menamakan Badrul Hisham sebagai defendan.

Wahab J-KOM saman Chegu Bard RM5 juta

Dalam penyataan tuntutannya Abdul Wahab mendakwa defendan menerbitkan, menyiarkan dan mendedahkan penyataan-penyataan fitnah dalam bentuk video terhadap plaintif, melalui hantaran yang dibuat melalui laman Facebook defendan atas nama ‘Che GuBard’ dan ‘Che’GuBard Official’ untuk tontonan masyarakat umum.

Dakwa plaintif, video itu menggambarkan seolah-olah beliau bersama bekas Ketua Pengarah J-KOM Dr Mohammad Agus Yusoff sedang berbual secara lucah, yang bertujuan menunjukkan kononnya plaintif terlibat dengan aktiviti tidak bermoral atau aktiviti homoseksual.

Selain itu, Badrul Hisham (defendan) juga telah menerbitkan semula video hantaran Facebook berkenaan di platform Telegram defendan atas nama “Che’gu bard Original”.

Abdul Wahab mendakwa laman Facebook dan Telegram itu merupakan milik defendan yang mempunyai akses dan kawal penuh ke atas laman-laman berkenaan, serta menerbitkan pernyataan-pernyataan fitnah bagi meraih manfaat untuk dirinya dalam bentuk populariti dan kedudukannya dalam kalangan pengikutnya.

Sehubungan itu, Abdul Wahab menuntut ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan RM5 juta serta ganti rugi am dibayar oleh defendan dalam jumlah yang ditaksirkan oleh mahkamah.

Abdul Wahab juga meminta mahkamah agar defendan membuat permohonan maaf kepada beliau dalam masa 14 hari dari tarikh penghakiman dengan menyerahkan kepada peguam plaintif draf permohonan maaf untuk kelulusan plaintif.

Selain itu, plaintif juga memohon supaya defendan dalam tempoh 48 jam selepas menerima kembali draf permohonan maaf yang diluluskan plaintif (Abdul Wahab), menerbitkannya selama tempoh 30 hari berturut-turut di akhbar Utusan Malaysia, Sinar Harian, Berita Harian dan News Straits Times secara bertulis.

Abdul Wahab turut meminta defendan memadam pernyataan-pernyataan fitnah dan video berkenaan daripada semua laman media sosial yang berada di bawah pengetahuan dan kawalannya.

Baca Juga:
Siapakah Dayang Anisha? Wanita yang berjaya tawan hati Putera Mateen
Rasuah lebih RM6 juta: Sanusi disoal siasat SPRM, beri keterangan lebih 3 jam
‘Buktikan saya rasuah YDPA hingga RM1 billion’ – Tun M