Viral abang ‘Kopi Dukung’ pikul tong 20kg, laku 100 cawan sehari

Photo of author

By Syima Iza

Viral abang ‘Kopi Dukung’ pikul tong 20kg, laku 100 cawan sehari.

Meskipun sudah membanting tulang bekerja 11 jam sehari, seorang pembantu kedai tetap gigih mencari rezeki lebih dengan menggalas ‘kopi dukung’ di belakangnya untuk dijual di sekitar Kuala Terengganu, pada setiap hari.

Bukan sahaja tidak malu, malah Mohamad Norazlan Anuar, 32, tetap kuat memikul tong berisi kopi panas seberat 20 kilogram sambil berjalan sepanjang Pantai Seberang Takir hingga ke Jambatan Angkat Kuala Terengganu.

Viral abang 'Kopi Dukung' pikul tong 20kg, laku 100 cawan sehari

Dengan menjual dengan harga RM2 secawan, Mohamad Norazlan dapat menjual sehingga 50 cawan kopi panas sehari jika cuaca dalam keadaan baik dan ramai pelanggan yang membeli.

Ujar anak kelahiran Pahang ini, ‘kopi dukung’ yang dibancuh istimewa oleh isterinya mula diusahakan sejak Oktober tahun lalu setelah mendapat inspirasi daripada sebuah video dari luar negara.

“Idea nak jual ‘kopi dukung’ ni datang dari awal tahun lepas, tetapi banyak halangannya sebab barang-barang yang orang luar negara guna tak ada dekat sini.

“Kebetulan saya nampak ada orang jual tepi jalan guna balang air panas, jadi atas insiatif sendiri saya ubah supaya saya boleh ‘dukung’ tong tu dan bawa kemana-kemana.

“Saya nak ‘pacak’ khemah berniaga macam orang lain tak boleh sebab ada kerja hakiki. Jadi tercetuslah ‘style’ menjual ‘kopi dukung’ ni sambil bergerak,” katanya ketika dihubungi Kosmo!

@adamjej32jadi molek air kopi adik ni.. tahun2024 semua boleh jadi duit.. jnji rajin usaha.

♬ suara asli – ᴠɪɴ ᴢʜᴇɪ

Tambah Mohamad Norazlan, dia tidak menyangka boleh tular di TikTok apabila ada pelanggan yang memuat naik gambar video dan gambar ketika dia sedang menjual.

“Awal-awal berniaga pernah ‘viral’ tapi sekarang lagi hebat ‘viral’ dia sampai ramai orang mesej saya nak infaq. Kalau hari minggu, saya gagahkan diri juga patah balik rumah, ambil tong kedua sampai boleh jual 100 cawan sehari.

“Tetapi ada hari memang tak larat sebab saya dah kerja sepanjang hari, rasa tenaga tu dah habis ketika bekerja. Nak pikul tu memang berat, ada masa tak larat,” katanya.

Dalam pada itu, bapa kepada dua orang cahaya mata ini turut menitipkan pesanan buat golongan muda untuk kerahkan tenaga selagi masih mampu dan larat untuk mencari rezeki yang halal.

Katanya yang mula berhijrah ke negeri Darul Iman pada empat tahun lalu, dia tetap kuat mencari rezeki kerana gaji yang diperolehi hanya cukup untuk barangan keperluan harian tidak termasuk perbelanjaan lain-lain.

“Ikutkan gaji saya cukup anak beranak makan. Tapi bila hari cuti tu mesti saya nak bawa isteri saya dan anak-anak jalan-jalan. Tambah pula saya merantau negeri orang.

“Kadang-kadang duit gaji tak lepas untuk saya balik kampung atau pun kalau balik, lepas tu mesti akan ikat perut. Tahun ni pula anak-anak akan masuk sekolah. Jadi memang perlukan pendapatan lebih.

“Selagi muda, kerahlah tenaga tu. Macam saya umur 30-an pun dah rasa kurang tenaga berbanding dulu. Selagi ada tenaga kerah jelah, bila dah tua takkan nak masih bekerja kuat kan,” ujarnya.

Baca Juga:
Lelaki buat konten pura-pura cacat selepas keluar tandas OKU dikecam orang ramai
“Mereka minta bukti benarkah rumah ini milik rakan saya” – Lelaki terkejut rumah rakan yang kosong 10 tahun didiami warga asing
Isu makanan berulat masa perkahwinan Putera Mateen, ini penjelasan Menteri Brunei