Video tular ucapan ‘rasis’ bekas pemain badminton negara dikecam Hannah Yeoh. Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh Tseow Tsuan mengecam tindakan seorang bekas pemain badminton negara yang mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman.
Hannah menerusi kenyataan hari ini berkata, beliau telah melakukan semakan dengan Majlis Sukan Negara (MSN) dan BAM berhubung identiti bekas pemain tersebut.
Jelas beliau, hasil semakan itu mendapati yang lelaki tersebut bukan lagi atlet negara dan merupakan bekas pemain pelapis percubaan BAM pada tahun 2014.
Hannah berkata, lelaki tersebut juga kini tidak lagi menetap di Malaysia dan dipercayai berada di luar negara.
“Saya tidak bersetuju dengan ucapan media sosial beliau dan mengecam sekeras-kerasnya sebarang ucapan perkauman dan pertikaian agama yang dibangkitkan walaupun beliau telah meminta maaf.
“Saya percaya ibadat agama tidak pernah mengganggu prestasi atlet dan sukan. Ini tidak pernah menjadi satu masalah di Malaysia,” katanya.
Mengulas lanjut, Hannah menegaskan yang arena sukan dalam negara mesti bebas daripada sebarang unsur perkauman dan politik.
Katanya, semua atlet negara merupakan sumber inspirasi kepada masyarakat dan perlu berhati-hati dengan kandungan media sosial masing-masing.
Terdahulu, tular di media sosial video seorang lelaki dipercayai bekas pemain badminton negara yang mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman terhadap BAM.
Lelaki tersebut yang dikenali sebagai Bong Guan Yik mendakwa pengurusan BAM yang majoritinya dimonopoli orang Melayu menyebabkan prestasi pemain-pemain yang bernaung di bawah persatuan tersebut terjejas teruk.
Tular video bekas pemain badminton negara, Bong Guang Yik mengeluarkan kenyataan rasis berkenaan melayu dan penghinaan ke atas Islam..
Apa tindakannya? Kita tunggu tindakan Menteri Belia & sukan berkenaan isu ini. pic.twitter.com/i0d7AgXz3K
— nan manjoi8715 (@nanmanjoi8715) February 12, 2023