Video tular Mek Yun bersama bapa, abang tunjuk kebolehan menulis jawi raih pujian ramai.
Tidak sekadar fasih berbahasa Melayu, siapa sangka personaliti media sosial popular, Mek Yun rupa-rupanya pandai menulis dan membaca tulisan Jawi!
Menerusi satu perkongsian di laman TikTok, Mek Yun atau nama sebenarnya Wee Yun Nee menunjukkan kebolehannya mengingati setiap abjad Jawi yang pernah dipelajari ketika di sekolah rendah.
Meskipun ingat-ingat lupa dek kerana sudah agak lama mempelajarinya, namun Mek Yun berjaya mengingati dengan baik setiap turutan abjad dengan bantuan abang keduanya yang mesra dipanggil Abe Wee.
“Tahu tak masa Mek Yun dengan Abe Wee sekolah rendah di Gemas dulu, kami belajar tulisan Jawi,” kongsi Mek Yun.
Tidak hairan juga dua beradik ini berkebolehan membaca dan menulis Jawi kerana bapa mereka, Datuk Wee Han Siew lebih mahir malah siap mengeja sebaris ayat dengan menggunakan huruf Jawi.
“Cha Ya Nun Alif (Cina), Mim Alif Kaf Nun (makan), Ba Wau Dal Wau (budu). Tekalah maksudnya,” kata bapanya tanpa memberikan jawapan di sebalik ayat yang dieja.
Video berkenaan sehingga kini meraih lebih 444,000 jumlah tontonan di TikTok.
@mekyunnnn Kami pun reti Tulisan Jawi tau! 😬✍🏻 Tapi power kan Pok?! 🤩 And apa maksud Pok eja tu gais? 👀 #fyp ♬ original sound – Mekyun
Sementara itu menjengah ruangan komen, rata-rata warga maya menzahirkan kekaguman mereka terhadap keluarga berbangsa Tionghua berkenaan.
“Bagusnya anak beranak ni. Memang respect kalau boleh ingat dan tulis tulisan Jawi.
“Suka tengok famili ni. Hormat agama lain, merendah diri, serba boleh.
“Pok (bapa Mek Yun) betul-betul rileks padahal ada gelaran Datuk.
“Bangga dengan keluarga ni. This is Malaysia. Saling meraikan berbilang kaum,” demikian komen netizen.
Untuk rekod, video perkongsian Mek Yun dan abangnya sering mendapat perhatian warga maya yang bukan hanya terhibur dengan telatah keluarga mereka, malah mengagumi sikap mereka yang amat menitikberatkan rasa hormat serta keharmonian hubungan tanpa mengira bangsa.