Cristiano Ronaldo dikatakan menyebut “Bismillah” sebelum mengambil sepakan percuma ketika perlawanan Al Nassr menentang Al Ittihad pada Selasa.
Ronaldo meledak dua gol dalam perlawanan terakhir Liga Pro Saudi itu, membantu pasukannya menewaskan Al Ittihad 4-2. Dua gol tersebut menyaksikan Ronaldo menjadi penjaring terbanyak liga dengan 35 gol, memecahkan rekod yang dicipta Abderrazak Hamdallah yang menjaringkan 34 gol pada musim 2019.
Kamera merakam Ronaldo dari jarak dekat dan pemain Portugal itu mendongak ke atas serta menyebut “Bismillah” sebelum melakukan sepakan percuma pada minit ke-66.
“Cristiano Ronaldo sebelum mengambil tendangan bebas: Bismillah,” ciapan di akaun SimplyGoal di laman X. Video Ronaldo itu mendapat banyak komen daripada pengguna media sosial yang menyifatkan Ronaldo semakin dekat dengan Islam, dan ada juga yang mengatakan sebenarnya pemain itu menyebut “wish me luck”.
“Semoga Allah membimbingnya kepada Islam,” tulis seorang pengguna laman sosial.
“Dia berkata ‘wish me luck’,” tulis seorang lagi pengguna laman sosial dengan emoji ketawa.
Ini bukan kali pertama Ronaldo dipercayai mengucapkan “Bismillah” kerana pemenang lima kali Ballon d’Or itu pernah didakwa melakukan perkara sama ketika mengambil sepakan penalti untuk pasukan negaranya pada perlawanan kelayakan Euro 2024 menentang Slovakia.
— Follow @SimplyGoal (@simplygoalsz) May 27, 2024
Malah, Ronaldo juga sudah terbiasa dengan budaya di Arab Saudi apabila sering dilihat mengenakan jubah dan serban serta mengucapkan “assalamualaikum” ketika berjumpa rakan sepasukan Al-Nassr.