Video montaj pelancaran Tahun Melawat Malaysia 2026 tiada masjid, ini penjelasan Menteri Pelancongan

Photo of author

By Syima Iza

Video montaj pelancaran Tahun Melawat Malaysia 2026 tiada masjid, ini penjelasan Menteri Pelancongan.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing, melahirkan rasa kesal terhadap tindakan segelintir pihak yang mengaitkan video montaj pelancaran Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026) sebagai isu agama dan perkauman.

Menurut King Sing, tujuan utama video tersebut adalah untuk mempromosikan sektor pelancongan, keindahan seni, budaya, serta produk pelancongan Malaysia secara keseluruhan, dan bukannya untuk menimbulkan isu sensitif.

Video montaj pelancaran Tahun Melawat Malaysia 2026 tiada masjid, ini penjelasan Menteri Pelancongan

“Berhubung isu tular mengenai video montaj pelancaran kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 yang dikatakan tidak memaparkan masjid sebagai sebahagian daripada visual promosi tersebut, saya ingin menegaskan bahawa tujuan utama video tersebut adalah untuk mempromosikan pelancongan, keindahan seni, budaya dan produk pelancongan Malaysia secara keseluruhan.

“Ia meliputi perpaduan, perkembangan ekonomi serta hala tuju negara ke hadapan, bukannya mengenai agama atau perkauman,” jelas beliau dalam satu kenyataan ringkas pada Rabu.

King Sing turut menjelaskan bahawa video tersebut hanyalah video pelancaran ringkas berdurasi 41 saat, dengan fokus utama untuk menampilkan keunikan Malaysia secara inklusif.

Beliau juga berharap semua pihak memahami bahawa video pelancaran seperti ini tidak boleh terlalu panjang atau terlalu terperinci.

“Malaysia mempunyai pelbagai keindahan dan keunikan, termasuk seni bina masjid yang memukau. Elemen-elemen tersebut telah dimasukkan dalam video promosi yang lebih terperinci dan memaparkan setiap elemen dengan lebih khusus. Video ini kini berada di peringkat akhir dan akan dikeluarkan dalam masa terdekat.

“Mana-mana elemen yang menonjolkan seni, budaya, dan daya tarikan pelancongan Malaysia secara menyeluruh, seperti Silat, Tarian Ngajat dan Tarian Sumazau, turut akan dimuatkan kerana ia melambangkan keindahan budaya dan semangat perpaduan negara,” jelasnya.

Beliau turut menyatakan rasa tidak puas hati terhadap pihak-pihak yang memutarbelitkan usaha kerajaan, menyifatkan tindakan tersebut sebagai cabaran kepada keharmonian sosial negara.

“Saya amat kesal dengan sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab memanipulasi isu ini menjadi sentimen agama dan perkauman. Sikap ekstremis seperti inilah yang sebenarnya mencabar keharmonian sosial kita, bukan usaha promosi yang dilakukan oleh kementerian.

“Sepatutnya, kita semua mengutamakan perpaduan, saling menghormati, dan kesejahteraan bersama,” tambah beliau.

Beliau berharap semua pihak memahami bahawa fokus utama adalah untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia serta mengukuhkan ekonomi negara melalui sektor pelancongan, seni dan budaya.

“Saya menyeru kepada semua pihak, tanpa mengira bangsa, agama, atau latar belakang, agar tidak mempolitikkan isu ini atau menjadikannya sebagai isu agama atau perkauman.

“Ingatlah, Malaysia adalah sebuah negara berbilang kaum yang menekankan nilai inklusiviti dan perpaduan. Jangan biarkan isu-isu seperti ini menjadi penghalang keharmonian masyarakat dan menjejaskan imej negara di peringkat antarabangsa,” tegasnya.

Baca Juga:
Baru sehari kahwin, wanita ini mahu cerai kerana dipaksa mak mentua masak lauk berbeza setiap hari
warga emas meninggal dunia hidup semula selepas ambulans langgar bonggol
Penduduk kampung keluar rumah buru pontianak