Video askar pukul bini depan jiran, siap acu pisau tular.
TULAR satu kejadian dipercayai melibatkan seorang anggota tentera yang bertindak memukul isterinya di hadapan sebuah rumah.
Insiden dirakam dalam satu klip berdurasi 32 saat yang tular sejak Jumaat itu difahamkan berlaku di kuartes sebuah kem tentera dekat Sungai Udang, Melaka.
Berdasarkan video tersebut, seorang lelaki yang memakai pakaian seragam Tentera Darat Malaysia (TDM) dilihat pada awalnya menyuruh seorang wanita dipercayai isterinya untuk masuk ke dalam sebuah rumah.
Bagaimanapun, wanita terbabit didapati enggan menuruti arahan berkenaan sambil turut didengar berulang kali menyatakan dirinya sedang mengalami kesakitan.
Ekoran daripada itu, lelaki berkenaan dilihat naik berang sebelum bertindak memukul wanita berkenaan beberapa kali.
Malah, lelaki tersebut juga didakwa turut menggunakan senjata ketika insiden terbabit.
“Panas hati tengok video askar pukul bini depan jiran. Siap acu pisau,” tulis ciapan di Laman X oleh akaun @MALAYSIAVIRALLL yang berkongsikan video tersebut pada Jumaat.
Di dalam video berkenaan, lelaki tersebut juga didengar memberi ancaman kepada wanita tersebut.
Menerusi klip sama, turut kedengaran satu suara lain dipercayai jiran pasangan tersebut yang bertanyakan mengenai situasi berlaku.
Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan tarikh sebenar kejadian tersebut.
Panas hati tengok video askar pukul bini depan jiran, siap acu pis*u. Dapat info Kejadian dekat kuartes Kem Sg Udang Melaka. pic.twitter.com/wL7ZtBgX4p
— MALAYSIA MOST VIRAL (@MALAYSIAVIRALLL) December 29, 2023
Di ruangan komen, rata-rata warganet melahirkan rasa tidak puas hati terhadap tindakan lelaki berkenaan yang dilihat mencemarkan imej pasukan keselamatan berkenaan.
Ketika dihubungi Majoriti, wakil Kementerian Pertahanan (Mindef) memaklumkan pihaknya akan meneliti mengenai video tular berkenaan.