Usia 61 tahun tak halang pesara guru sertai uji bakat ‘One In A Million’ cuba nasib menang RM1 Juta.
Kelihatan ramai individu dengan pelbagai karakter hadir ke uji bakat ini, salah seorangnya adalah seorang pesara guru, Azman Bin Ali, yang berusia 61 tahun.
Beliau yang berasal dari Klang memberitahu bahawa menyanyi adalah hobi yang sangat disukainya. Azman sering terlibat dalam aktiviti bersama band serta menyertai pelbagai acara karaoke. Kecintaannya terhadap muzik mendorong beliau untuk tampil di hadapan khalayak ramai, di mana beliau dapat mengekspresikan bakatnya dan merasakan kepuasan berkongsi momen indah dengan pendengar.
Walaupun umurnya sudah lanjut, beliau tetap berani mencuba nasib dengan menyertai ujibakat ini. Usahanya membuahkan hasil apabila beliau berjaya melayakkan diri di kedua-dua peringkat ujibakat di KJH Johor Bahru, membuktikan bahawa semangat dan ketekunan dapat membuka peluang yang tidak dijangka.
Bersedia Menghadapi Cabaran Sekiranya Terpilih
Jika terpilih, beliau bertekad untuk membuat persediaan yang lebih baik. Namun, bagi Azman, salah satu cabaran yang mungkin dihadapi adalah menghafal lagu-lagu terkini. Meskipun begitu, beliau bersedia menghadapi kesukaran ini dengan tekad dan usaha, kerana beliau percaya bahawa setiap cabaran merupakan peluang untuk berkembang dan memperbaiki diri.
Lagu yang disampaikan adalah “Teratai” yang dinyanyikan oleh Dato Ramli Sarip. Beliau berpendapat bahawa lagu ini mempunyai lirik yang sangat bermakna dan mendalam. Melodi serta mesej dalam lagu tersebut menyentuh hati dan mampu menggugah emosi, menjadikannya pilihan yang tepat untuk ditampilkan.
Azman adalah seorang pesara guru yang mengajar di SK Taman Gembira, Klang, dan kini menetap di Klang, Selangor. Ketika ini, beliau pulang ke kampung halaman di Johor Bahru untuk menikmati cuti panjang bersama keluarga dan cucu.
“Idola saya semestinya adalah Wak Mustar, atau nama penuhnya Mustaffa Rashid Abdul Jabbar, yang merupakan juara dalam satu pertandingan menyanyi di salah satu rancangan TV. Itu jika yang lama, kerana saya juga orang lama. Manakala untuk artis baharu, saya pilih Syamel. Suaranya memang lain dan unik bagi saya,” katanya.
Menurutnya, dia berhasrat untuk membawa keluarganya menjelajah dunia jika berjaya.
“Jika RM1 juta itu menjadi milik saya, saya akan membawa seluruh ahli keluarga saya untuk menjelajahi pelusuk dunia. Di samping itu, saya juga ingin membawa mereka ke kota suci, Makkah, untuk menunaikan ibadah dan merasai pengalaman yang begitu bermakna,” tambahnya lagi.
Selepas Johor Bahru, uji bakat bersemuka OIAM akan diteruskan ke lima lokasi seluruh Malaysia iaitu di Sabah, Pulau Pinang, Pahang, dan Kuala Lumpur, pada setiap hujung minggu antara 9 hingga 17 November ini, dengan lokasi uji bakat yang akan diumumkan dalam masa terdekat.
Namun, jika tidak berkesempatan untuk menyertai sesi uji bakat secara bersemuka, peserta yang berminat boleh menyertai uji bakat secara dalam talian bermula dari 1 hingga 17 November ini.
Peserta hanya perlu memuat naik video nyanyian mereka berdurasi satu minit di TikTok dengan hashtag rasmi #CalpisOIAMTV3 dan #SegarRasaSodapSuara.