Usahawan makan sebiji pisang berharga RM27.6 juta, beli 100,000 lagi daripada Shah Alam.
Pada awal minggu lalu, dunia digemparkan dengan berita yang sukar dipercayai di mana satu ‘karya seni’ berupa sebiji buah pisang yang dilekatkan pada dinding dengan pelekat telah terjual pada harga USD6.2 juta (RM27.6 juta) dalam satu acara lelongan.
Buah pisang tersebut dibeli oleh seorang usahawan kripto, Justin Sun. Beliau telah pun memakan buah tersebut pada 29 November lalu di hadapan khalayak ramai.
Menurutnya, buah pisang berharga RM27.6 juta itu mempunyai rasa yang berbeza daripada buah pisang kebiasaan.
“Ramai kawan-kawan bertanyakan tentang rasa pisang itu. Sejujurnya, untuk pisang yang mempunyai cerita di sebaliknya, rasanya memang berbeza dari yang biasa.
“Saya dapat merasai sedikit gambaran tentang rasa pisang Big Mike dari 100 tahun yang lalu,” kata Justin.
Bagaimanapun, dalam keterujaan warga dunia mengenai berita tersebut, ada pihak yang sangat sedih setelah mengetahui pisangnya dijual semahal itu.
Shah Alam, seorang peniaga buah di tepi bangunan di luar rumah lelong Sotheby, hanya menjual buah pisang pada harga USD0.35 sen (RM1.57) atau USD1 (RM4.46) untuk empat biji pisang.
Many friends have asked me about the taste of the banana. To be honest, for a banana with such a back story, the taste is naturally different from an ordinary one. I could discern a hint of what Big Mike bananas from 100 years ago might have tasted like. 🍌 pic.twitter.com/Sz6zaePGpv
— H.E. Justin Sun 🍌 (@justinsuntron) November 29, 2024
Beliau berasa sangat sedih dan hampa apabila salah satu buah pisang yang dijualnya, dibeli dengan harga puluhan juta ringgit.
“Saya seorang lelaki miskin. Saya tidak pernah mempunyai wang seperti ini. Saya tidak pernah melihat wang seperti ini,” kata Shah Alam, 74, dengan suaranya pecah menahan sebak.
Seorang duda dari Dhaka, Bangladesh, Shah Alam merupakan seorang penjawat awam sebelum berpindah ke Amerika Syarikat pada 2007 untuk lebih rapat dengan salah seorang daripada dua anaknya, anak perempuan yang sudah berkahwin dan tinggal di Long Island.
Dia berkata rumahnya adalah apartmen bawah tanah yang dikongsi bersama lima lelaki lain di Parkchester, Bronx. Untuk biliknya, dia membayar sewa USD500 (RM2,227) sebulan, katanya yang bercakap dalam Bahasa Bengali.
Kedai buahnya beroperasi selama 12 jam, empat hari seminggu dengan gaji USD12 (RM53) per jam. Oleh kerana Bahasa Inggerisnya terhad, dia hanya boleh menyebut nama buah dan harga; epal, tiga untuk USD2 (RM8), pear kecil, USD1 (RM4) setiap satu.
Difahamkan beliau mempunyai masalah penglihatan dan rawatan katarak akan dilakukan pada Januari hadapan.
“Mereka yang membelinya (sebiji pisang berharga RM27.6 juta), orang jenis apakah mereka? Apakah mereka tidak tahu apa itu pisang?” tanya beliau.
Excited to announce we’ve connected with Rana and Mr. Shah Alam that helped us create this moment in art history.
Our plan to distribute the bananas is now underway, honoring their vital role in this story and celebrating their hard work.
Stay tuned as we bring this initiative… https://t.co/FUI5VaSLJj
— H.E. Justin Sun 🍌 (@justinsuntron) November 30, 2024
Tular berita kekecewaan Shah Alam, Justin membuat keputusan untuk membeli 100,000 biji pisang daripada gerai tersebut dan memberikannya kepada orang ramai secara percuma.
“Untuk berterima kasih kepada En. Shah Alam, saya telah memutuskan untuk membeli 100,000 pisang dari gerai beliau di Upper East Side, New York.
“Pisang-pisang itu akan diedarkan secara percuma ke seluruh dunia melalui gerai tersebut. Tunjukkan ID yang sah untuk menuntut satu pisang, selagi bekalan masih ada,” petik hantaran di X.com Justin.