‘Usaha tangga kejayaan’ – Wanita ini lulus ujian memandu pada percubaan kali ke-960. Seorang wanita di Korea Selatan akhirnya lulus ujian memandu pada percubaan kali ke-960 selepas membayar lebih £11,000 (RM59,644) untuk mendapatkan lesennya, lapor akhbar Mirror UK semalam.
Cha Sa-soon, 69, mula menduduki ujian bertulis pada April 2005 dan selepas gagal buat kali pertama, dia terus mengambilnya semula pada setiap hari dalam lima hari seminggu selama tiga tahun.
Selepas 780 percubaan, Sa-soon mengambil hanya dua kali ujian bertulis dalam seminggu sehingga dia akhirnya lulus dan perlu meneruskan ujian praktikal latihan memandu.
Sa-soon lulus ujian memandu selepas mencuba 10 kali. In bermakna dia telah melalui 960 peperiksaan secara keseluruhan sebelum akhirnya mendapat lesen.
Wanita itu enggan berputus asa kerana dia memerlukan lesen kenderaan untuk memudahkan perniagaan sayur-sayurannya.
Menurut laporan, Sa-soon membelanjakan hampir £11,000 (RM59,644) untuk mendapatkan lesen memandu.
Guru memandunya di Sekolah Memandu Jeonbuk berkata, dia berasa lega apabila Sa-soon akhirnya mendapat lesen.
“Apabila dia akhirnya mendapat lesen, kami semua keluar sambil bersorak dan memeluknya serta memberinya bunga.
“Rasanya seperti beban besar dialihkan dari belakang kami. Kami tidak berani untuk menyuruhnya berhenti kerana dia terus muncul,” katanya.
Disebabkan beberapa percubaannya mengambil ujian memandu, Sa-soon menjadi selebriti negara dan muncul dalam iklan syarikat pengeluar kereta, Hyundai.
Hyundai malah menghadiahkan Sa-soon sebuah kenderaan baharu berharga hampir £11,640 (RM63,117).