
Ular sawa berat 80kg, panjang hampir 7 meter ‘kekeyangan’ lepas baham monyet di Kedah
Ular sawa berat 80kg, panjang hampir 7 meter ‘kekeyangan’ lepas baham monyet di Kedah.
Kelmarin (23 Oktober), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) berjaya menangkap seekor ular sawa yang kekenyangan selepas menelan seekor monyet peliharaan di Kampung Sera Ulu, Pulai, Baling, Kedah.
Pegawai APM Daerah Baling, Leftenan (PA) Mohd Faizul Abd Aziz berkata, kehadiran ular sawa itu disedari oleh seorang penduduk kampung berkenaan selepas dia ingin memberi makan kepada monyet peliharaannya di belakang rumah.
APM berjaya tangkap ular sawa selepas dihubungi penduduk kampung
Menurutnya, reptilia itu berjaya ditangkap APM selepas dihubungi penduduk kampung berkenaan sebaik menyedari kejadian itu.
“Dalam keadaan cemas melihat monyetnya dibaham ular sawa, lelaki terbabit menghubungi talian kecemasan APM Baling untuk mendapatkan bantuan bagi menangkap reptilia itu,” katanya dipetik Sinar Harian.
Ular sawa seberat 80kg dan panjang hampir 7 meter
Menurutnya lagi, sebaik tiba di lokasi, terdapat seekor ular sawa seberat 80 kilogram dan panjangnya hampir tujuh meter.
“Operasi dilakukan menggunakan peralatan khas dan akhirnya berjaya ditangkap sebelum dibawa ke pejabat APM Baling untuk tindakan lanjut,” katanya lagi.
Berkongsi lanjut, Mohd Faizul menasihati orang awam agar berhati-hati dengan ancaman haiwan liar dan sebarang kecemasan boleh menghubungi APM Baling di talian 04-4701626 (24 jam) atau 999 untuk mendapatkan bantuan.