
Tun M sudah tidak laku – Puad
Tun M sudah tidak laku – Puad. AHLI Majlis Kerja Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, menyifatkan peletakan jawatan Tun Dr Mahathir sebagai Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) membuktikan imej bekas Perdana Menteri itu sudah tidak laku untuk pasaran parti.
Mohd Puad berkata, malah peletakan jawatan Dr Mahathir juga tidak disambut dengan tangisan dan desakan meminta bekas Ahli Parlimen Langkawi itu untuk ‘tarik balik’ keputusan berkenaan oleh anggota parti itu.
“Tidak ada pula yang tampil macam (Tan Sri) Rafidah Aziz sambil berkata ‘why, why, why’. Media turut tidak mengambil perhatian isu ini.
“Kenapa? Mungkin ahli lain juga mahu cabut lari. Tunggu apa lagi. Kalau Tun M sendiri hilang wang pertaruhan, maknanya imej Tun M sudah tidak laku untuk pasaran parti,” katanya menerusi Facebook.
Mohd Puad juga mendakwa Dr Mahathir mengakhiri karier politik dalam keadaan yang agak menyedihkan.
“Cara Tun M landing politik memilukan. Banyak pengajaran. Paling penting jangan terlalu menzalimi lawan.
“Elok dia masuk NGO Muafakat Nasional pimpinan (Tan Sri) Annuar Musa,” katanya.
Sebelum ini media melaporkan, Dr Mahathir meletak jawatan sebagai Pengerusi Pejuang.
Perkara itu disahkan oleh sumber parti itu, bagaimanapun Dr Mahathir dikatakan akan kekal sebagai Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA).
Setakat ini, tiada pengumuman secara rasmi dilakukan oleh parti itu lagi.